WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEMATIAN PREBET: KEMENTERIAN PERTAHANAN SERAH SIASATAN SEPENUHNYA PADA PDRM

27/03/2025 02:04 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Kementerian Pertahanan menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyempurnakan siasatan berhubung kematian Prebet Muhammad Muqriz Aseri di Kem Sri Miri.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya akan memberi kerjasama penuh secara telus bagi membantu siasatan insiden malang itu.

“Kita memang tidak menerima kelakuan tidak bermoral seperti ini dan hasil daripada siasatan itu nanti kita akan lihat bagaimana perkara dan insiden seperti ini terjadi, supaya tidak berulang.

“Kita percaya bahawa adalah wajar untuk kita lakukan siasatan sehingga habis dahulu, kemudian apa-apa maklumat kita akan beritahu dan tidak beri secara sekerat-sekerat kerana nanti akan timbul salah faham keliru dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman Dividen LTAT 2024 di sini hari ini.

Mohamed Khaled turut meminta orang ramai agar tidak mengaitkan antara kes yang berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan insiden itu.

“Jangan dicantumkan antara yang berlaku di UPNM dengan yang ini, kerana ini insiden yang jarang berlaku dan kita tak pernah dengar oleh sebab itu lah kita nak mengkaji secara mendalam apa sebabnya.

“Insiden ini terpencil kerana setiap tahun kita ada 5,000 rekrut dan nak kata ada unsur dera masih awal sebab tengah siasat, jadi jangan terus buat kesimpulan,” katanya.

Semalam, polis menahan dua anggota tentera berpangkat prebet bagi membantu siasatan berhubung kematian Prebet Muhammad Muqriz Aseri di Kem Sri Miri.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata kedua-dua suspek yang berumur 22 dan 24 tahun itu ditahan kira-kira 4.30 petang, Selasa lepas dan direman selama tujuh hari hingga 2 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan memaklumkan punca kematian Prebet Muhammad Muqriz, 21, daripada Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD), Kem Sri Miri pada Isnin lepas adalah trauma tumpul pada dada hingga menyebabkan kerosakan pada jantung.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan