KOTA KINABALU, 27 Mac (Bernama) -- Jabatan Hidupan Liar (JHL) bersama pihak berkepentingan akan melancarkan Pelan Pengurusan Gajah Dalam Kurungan di Sabah, sempena simposium mengenai usaha konservasi gajah pygmy pada 9 Apr depan.
JHL dalam kenyataan kepada Bernama memaklumkan pelan tindakan itu, mengenai hala tuju dan tindakan yang perlu untuk mengurus gajah dalam kurungan.
“Simposium itu akan dihadiri pihak berkepentingan, agensi kerajaan, masyarakat awam serta badan bukan kerajaan berkaitan hidupan berkenaan dan dianggarkan seramai 100 tetamu dijangka akan menyertai simposium berkenaan,” menurut JHL dalam kenyataan itu.
Simposium yang berlangsung selama tiga hari itu juga, akan membincangkan mengenai pelaksanaan tindakan dalam Pelan Tindakan Gajah Borneo bagi tempoh lima tahun akan datang, termasuk sebarang perubahan mahupun penambahan dalam pelan itu.
Pada 2020, kerajaan negeri Sabah meluluskan Pelan Tindakan Gajah Negeri Sabah 2020-2029 dalam usaha untuk memastikan hidupan liar itu tidak pupus di bumi Sabah.
Pelan tindakan 10 tahun itu diluluskan pada mesyuarat Kabinet negeri, bagi memulihara dan melindungi populasi gajah di negeri ini yang dianggarkan dalam julat 1,500-2,000 ekor.
JHL berkata melalui simposium itu juga keberkesanan usaha konservasi yang telah dilaksanakan berdasarkan Bornean Elephant Action Plan (BEAP) akan dinilai semula bagi memastikan tindakan pengurusan dan konservasi selari dengan isu-isu semasa.
Pihak penganjur berharap simposium berkenaan akan dapat mencapai kata sepakat dalam kalangan semua pihak berkepentingan, agar komited melaksanakan tindakan yang digariskan dalam pelan tersebut seterusnya memastikan kelangsungan pengurusan dan pemuliharaan gajah Borneo secara mampan.
Gajah Borneo atau Elephas maximus borneensis diklasifikasikan sebagai Terancam dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN), disebabkan populasinya yang kecil dan semakin berkurangan.
Ia juga dikenali sebagai gajah pygmy Borneo, subspesies kepada gajah Asia atau Elephas maximus, dibezakan melalui saiznya yang lebih kecil dengan gajah jantan membesar sehingga ketinggian kira-kira 2.5 meter berbanding 3 meter di tanah besar.
Gajah Asia itu diisytiharkan sebagai Terancam dalam Senarai Merah IUCN mengikut penilaian pada 18 Sept 2019 dan diterbitkan pada 2020; manakala subspesiesnya, gajah Borneo diisytiharkan sebagai Terancam dalam Senarai Merah IUCN menurut penilaian pada 17 Nov 2023 dan diterbitkan pada tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial