MELAKA, 27 Mac (Bernama) -- Kira-kira 221,000 kenderaan dijangka memasuki Melaka melalui tiga tol di negeri itu sempena cuti sambutan Hari Raya Aidilfitri, pada minggu hadapan.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata daripada jumlah itu, sebanyak 108,000 kenderaan dijangka masuk melalui Plaza Tol Ayer Keroh manakala Plaza Tol Simpang Ampat (83,000 kenderaan) dan Plaza Tol Lipat Kajang (30,000 kenderaan).
"Menjelang cuti Hari Raya Aidilfitri bermula esok (Jumaat) hingga 3 April ini, jumlah kenderaan keluar dan masuk ke Melaka agak banyak melalui tiga pintu utama di negeri ini.
"Justeru, polis Melaka akan meningkatkan pemantauan bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar dan pengguna jalan raya juga dinasihatkan lebih berhati-hati, mematuhi peraturan yang ditetapkan serta tidak mementingkan diri sendiri," katanya kepada pemberita di Jalan Mufti Haji Khalil sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Peluncuran Op Selamat 24 sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 Peringkat Negeri Melaka yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Melaka SAC Ahmad Jefferi Abdullah.
Dalam pada itu, Dzulkhairi berkata hampir 500 anggota polis di negeri itu akan bertugas sepanjang cuti raya ini bagi melaksanakan rondaan jenayah, pemantauan trafik dan Op Selamat 24.
"Hanya kira-kira 20 peratus sahaja anggota polis dibenarkan bercuti pada Hari Raya Aidilfitri ini dan kekangan itu juga disebabkan Melaka terpilih menjadi tuan rumah sambutan Hari Raya Aidilfitri Madani Peringkat Kebangsaan 2025 pada 5 April ini," katanya.
"Daripada jumlah yang bekerja, sebanyak 19 pegawai kanan polis dan 140 pegawai rendah polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan ditempatkan secara langsung di kawasan 'hotspot' yang sering berlakunya kesesakan lalu lintas serta kawasan 'blackspot' yang kerap berlaku kemalangan jalan raya di negeri ini.
"Pada tahun Op Selamat 22 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, sebanyak 406 kes kemalangan direkodkan di negeri ini dan empat kes adalah kemalangan maut," katanya.
Beliau berkata selain itu, sebanyak 385 kes pula ialah kemalangan membabitkan kerosakan, cedera ringan (10 kes) dan cedera parah (tujuh kes).
Dalam pada itu katanya sehingga hari ini, polis Melaka menerima sebanyak 174 pemakluman balik kampung daripada orang awam menerusi pelbagai medium seperti aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (56), borang manual di balai polis (lima) dan talian MERS 999 (113).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial