WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DANA MITRA: WANITA MENGAKU TIDAK BERSALAH BERI KETERANGAN BERCANGGAH

27/03/2025 10:35 PM

SHAH ALAM, 27 Mac (Bernama) -- Seorang wanita hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan memberikan keterangan bercanggah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM dalam kenyataan memaklumkan keterangan itu berkaitan siasatan membabitkan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

V. Meenaloshini, 35, didakwa membuat satu akuan bersumpah kepada seorang pesuruhjaya sumpah di sebuah premis di Prima Sri Gombak, Selangor pada 20 Dis 2023, yang bercanggah dan tidak selaras dengan keterangan yang telah diberikan kepada pegawai SPRM di ibu pejabat agensi antirasuah itu di Putrajaya pada 24 dan 25 Jan 2022.

“Kenyataan dalam akaun bersumpah itu menyebut bahawa tertuduh berurusan secara langsung dengan kontraktor-kontraktor yang membuat tuntutan bayaran dana MITRA dan tidak pernah berurusan dengan seorang individu berkaitan hal itu. 

“Namun dalam kenyataan kepada pegawai SPRM, tertuduh menyatakan pembayaran kepada setiap kontraktor akan dibuat secara terus oleh individu itu sama ada melalui cek, pindahan secara dalam talian atau tunai,” menurut kenyataan itu.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 27(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin membenarkan Meenaloshini diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM terdekat.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 April ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mohaidi manakala tertuduh diwakili peguam K. Kanagavalli. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan