KLUANG, 28 Mac (Bernama) -- Lima termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun, maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di KM58.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini, 11.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata kemalangan itu melibatkan sebuah lori jenis Volvo, kereta Toyota Camry, Proton X50 dan Honda Stepwagon Spada.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan terjadi apabila tayar hadapan lori yang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur telah pecah, menyebabkannya hilang kawalan dan bergesel dengan Toyota Camry yang berada di arah yang sama.
“Akibat pergeseran itu, lori telah terbabas dan menyeberang ke laluan bertentangan, seterusnya berlanggar dengan dua kenderaan iaitu Proton X50 dan Honda Stepwagon Spada.
“Perlanggaran itu juga mengakibatkan Honda Stepwagon Spada terbakar namun kesemua mangsa dalam kenderaan sempat dikeluarkan orang ramai yang berada di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bahrin berkata mangsa yang meninggal dunia di lokasi ialah pemandu dan penumpang Proton X50, Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa, 23, dan seorang lelaki berusia 20-an yang masih belum dikenali identitinya.
“Mangsa maut Honda Stepwagon Spada di lokasi pula ialah seorang kanak-kanak berusia dua tahun iaitu Mariam Nasaarudin. Pemandu dan penumpang hadapan Honda Stepwagon Spada yang juga ibu bapa kanak-kanak itu Nasaarudin Pardi, 36, dan Siti Khazira Bani, 35, meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
“Lapan lagi yang cedera dalam kemalangan itu dibawa ke hospital. Kesemua mangsa dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom di sini dan hospital di Kulai,” katanya.
Beliau berkata seorang lelaki berusia 35 tahun yang juga pemandu lori ditahan susulan kemalangan maut itu.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Renggam PBK II Shoromi Salih berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.48 malam dan seramai 13 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Operasi ini turut melibatkan sebuah jentera LFRT, sebuah FRT dan sebuah EMRS yang bertindak memadam kebakaran dan mengeluarkan mangsa yang telah disahkan meninggal dunia dan tersepit di dalam sebuah kenderaan,” katanya sambil menambah operasi ditamatkan pada pukul 1.24 pagi,” katanya
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial