WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KANAK-KANAK DITEMUKAN BERJALAN SEORANG DIRI DI SERI KEMBANGAN DISERAHKAN KEPADA IBU BAPA

28/03/2025 06:20 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Seorang kanak-kanak perempuan berusia sekitar tiga tahun yang tular di TikTok selepas ditemukan berjalan seorang diri di kawasan Serdang Perdana, Seri Kembangan, telah diserahkan kembali kepada ibu bapanya hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. A. Anbalagan berkata sekitar 3.42 pagi tadi, seorang lelaki berusia 27 tahun ternampak kanak-kanak itu berjalan seorang diri dengan membawa wang tunai RM2.

Beliau berkata lelaki tersebut kemudiannya membawa kanak-kanak itu ke Balai Polis Seri Kembangan setelah kanak-kanak berkenaan gagal memberikan maklumat mengenai rumahnya.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang mengesahkan menerima laporan pada 4.35 pagi dan segera menjalankan siasatan. Hasil siasatan mendapati kanak-kanak tersebut dipercayai keluar daripada rumahnya tanpa disedari ibu bapanya melalui pintu yang tidak berkunci.

“Kanak-kanak itu kemudian berjalan sejauh 100 meter dari pondok pengawal keselamatan di apartment tempat tinggalnya. Walau bagaimanapun kanak-kanak itu ditemukan dalam keadaan baik,” katanya dalam kenyataan.

Anbalagan berkata ibu bapa kanak-kanak tersebut kemudian tiba di Balai Polis Seri Kembangan pada 7.50 pagi tadi, setelah menyedari ketiadaannya di rumah.

“Kanak-kanak tersebut diserahkan kembali kepada ibu kandungnya setelah pengesahan dibuat melalui sijil kelahiran dan kad pengenalan ibu serta bapa.

“IPD Serdang mengucapkan terima kasih kepada lelaki yang telah memberikan kerjasama dan menyeru orang ramai untuk melaporkan sebarang maklumat jenayah kepada pihak berkuasa melalui balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Serdang di talian 03-8074 2222,” katanya.

Terdahulu, tular satu video di TikTok yang memaparkan seorang kanak-kanak berbaju ungu cerah didukung seorang lelaki yang memaklumkan bahawa kanak-kanak itu dipercayai hilang selepas menemuinya di sekitar kawasan Seri Kembangan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan