KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) hari ini mengesahkan bahawa terdapat penipuan dalam talian menyamar sebagai pegawai agensi itu dengan modus operandi menyasarkan keluarga klien yang sedang menjalani program rawatan dan pemulihan.
AADK dalam kenyataan memaklumkan pelaku penipuan itu didakwa bertindak memeras ugut keluarga klien dengan mengancam tindakan tegas sekiranya mereka tidak membayar sejumlah wang tertentu.
“Setakat ini, AADK mengesan dua kes melibatkan panggilan telefon dan e-mel yang dihantar terus kepada keluarga klien. Namun tiada mangsa penipuan dilaporkan sehingga kini kerana keluarga klien segera merujuk kepada Pusat Gerakan Hotline (PGH) AADK untuk pengesahan lanjut.
"AADK ingin menasihati ahli keluaga atau penjaga klien yang menerima panggilan atau e-mel mencurigakan agar terus menghubungi pegawai pemulihan AADK di daerah, negeri atau ibu pejabat sebelum sebarang tindakan dibuat," menurut kenyataan itu.
Agensi itu turut menasihati keluarga klien supaya tidak melakukan transaksi pemindahan wang kepada mana-mana individu atau nombor akaun yang mencurigakan dan membuat laporan polis dengan segera.
“AADK komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan klien serta keluarga atau penjaga daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian,” katanya.
Orang ramai juga diminta sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan taktik licik penipuan yang menyalah guna nama AADK untuk kepentingan peribadi.
Mereka yang menjadi mangsa penipuan disaran membuat laporan polis dengan segera dan melaporkan kejadian itu kepada AADK melalui pejabat berhampiran atau menghubungi talian bebas tol PGH AADK di 1-800-22-2235 atau melalui aplikasi WhatsApp di 019-626 2233.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial