Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 28 Mac (Bernama) -- Singapura bersedia untuk mengerahkan kontinjen Operasi Lionheart untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan bandar serta usaha bantuan bencana di Myanmar susulan gempa bumi kuat pada Jumaat, menurut Kementerian Luar (MFA).
Jurucakap MFA berkata ini adalah dengan penyelarasan bersama Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre).
Operasi Lionheart merupakan kontinjen 79 anggota di bawah Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dengan fungsi teras menyediakan bantuan mencari dan menyelamat di kawasan bandar atau memberikan bantuan kemanusiaan kepada negara yang dilanda bencana besar.
"Kerajaan Singapura amat berdukacita atas kehilangan nyawa dan kemusnahan akibat gempa bumi yang melanda Myanmar dan Thailand pada 28 Mac, serta menyampaikan ucapan takziah dan simpati kepada mereka yang terjejas. Kerajaan Singapura bersedia untuk menghulurkan bantuan," kata jurucakap itu dalam satu kenyataan.
MFA turut menyatakan bahawa nasihat perjalanan yang menggesa rakyat Singapura menangguhkan semua perjalanan ke Myanmar sedang berkuat kuasa.
Setakat ini, tiada laporan mengenai rakyat Singapura yang cedera akibat gempa bumi itu, tambahnya.
Gempa bumi dengan magnitud 7.7 melanda berhampiran Sagaing, Myanmar, sekitar 12.50 tengah hari waktu tempatan pada Jumaat, dengan gegaran turut dirasai di Thailand, China dan Laos.
Satu gempa susulan dengan magnitud 6.4 berlaku kira-kira 12 minit selepas gegaran pertama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial