WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AGONG, SULTAN SERTAI UMAT ISLAM SOLAT SUNAT AIDILFITRI

31/03/2025 01:43 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Umat Islam di negara ini menyambut ketibaan 1 Syawal dengan menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau di seluruh negara dalam suasana penuh kesyukuran dan kemeriahan.

Dari Masjid Negara di ibu negara sehingga ke surau dan masjid di kawasan pedalaman, umat Islam tidak melepaskan peluang membanjiri rumah ibadat itu seawal 7 pagi bagi melaungkan takbir bersama-sama sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri dan mendengar khutbah raya.

Di ibu negara, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan. 

Ini kali pertama Sultan Ibrahim menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan selepas melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan tahun lepas. 

Di PERLIS, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 2,000 jemaah di Dataran Istiadat Istana Arau yang diimamkan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor.

Turut berangkat sama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, anakanda-anakanda baginda berdua selain Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Di KEDAH, Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Zahir yang bermula pada 9 pagi dan diimamkan oleh Imam Besar Masjid Zahir Sheikh Mohd Naim Ahmad.

Turut bersama lebih 2,000 jemaah ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersama barisan exco kerajaan negeri.

Di PERAK, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 2,000 jemaah di Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar.

Sebaik selesai menunaikan solat sunat berkenaan, baginda menziarahi makan ayahanda baginda Almarhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah di Makam Diraja.

Di SELANGOR, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berangkat menyertai lebih 3,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong di Shah Alam.

Di PAHANG, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan. 

Di TERENGGANU, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri bersama lebih 2,000 jemaah di Masjid Al-Muktafi Billah Shah.

Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berangkat tiba di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Kuala Pilah pada 8.30 pagi bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 1,500 jemaah.

Di JOHOR, pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Sultan Abu Bakar yang diimamkan Imam Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Makhadzir Abdan bersama lebih 2,000 jemaah.

Di PULAU PINANG, Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 7,000 umat Islam di Masjid Negeri Pulau Pinang.

Usai menunaikan solat, Tun Ahmad Fuzi menyampaikan sumbangan duit raya daripada Yayasan Amal Tuan Yang Terutama kepada kanak-kanak yang hadir.

Sementara itu, tinjauan di MELAKA mendapati penduduk sekitar Padang Temu meraikan 1 Syawal dengan keunikan tersendiri apabila menunaikan solat sunat Aidilfitri di lokasi terbuka di dataran Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Temu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Padang Temu Mohd Nazri Aziz berkata solat sunat Aidilfitri di kawasan terbuka itu merupakan kali pertama dianjurkan di negeri itu, selari dengan sunnah Rasulullah, yang dihadiri hampir 2,000 penduduk.

Di PUTRAJAYA, ribuan jemaah mula berkumpul di Masjid Putra seawal 7.30 pagi untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra Dr Muhamad Zakuwa Rodzali yang turut menyampaikan khutbah raya bertajuk "Berdamai Dalam Dakapan Syawal".

Dalam pada itu, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan Toh Puan Faridah Tussin menyertai kira-kira 7,000 umat Islam di sekitar Kota Kinabalu menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Sabah.

Di SARAWAK, Yang Dipertua Negeri Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Jamek, Petra Jaya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan