WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ADB TERBIT BON PANDA TERBESAR

31/03/2025 11:36 PM

MANILA, 31 Mac (Bernama-Xinhua) -- Bank Pembangunan Asia (ADB) mengumumkan pada Isnin kejayaan penerbitan bon bernilai 8.3 bilion yuan China (kira-kira US$1.15 bilion), sekali gus memperoleh modal besar bagi menyokong projek pembangunannya untuk peminjam berdaulat dan sektor swasta, lapor Xinhua.

Bon tiga tahun itu, yang merupakan penerbitan Bon Panda terbesar ADB setakat ini dan dikeluarkan pada 17 Mac 2025, membawa kadar kupon sebanyak 1.81 peratus.

Bon Panda ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan ADB untuk mempelbagaikan sumber pembiayaannya serta memanfaatkan pasaran modal mata wang tempatan yang semakin berkembang di Asia dan Pasifik.

Dana yang diperoleh akan digunakan untuk membiayai pelbagai projek bertujuan mempromosikan pembangunan inklusif dan mampan dalam kalangan anggota ADB.

Bendahari ADB Tobias Hoschka berkata penerbitan Bon Panda terbaharu ini mencerminkan permintaan kukuh terhadap peluang pelaburan berkualiti tinggi dan mampan dalam pasaran bon China.

"Hasil daripada penerbitan ini akan menjadi pemangkin penting dalam misi kami untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan kemiskinan di rantau ini," katanya.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan