WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DARI PASAR MALAM KE EMPAYAR PENDANDAN RAMBUT, NIMROC SASAR BUKA 100 CAWANGAN

01/04/2025 03:35 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Bermula sebagai perniagaan kecil di pasar malam, jenama dandanan rambut tempatan, Nimroc Holdings Sdn Bhd, kini berkembang pesat dengan 19 cawangan di seluruh negara dan menyasarkan 100 cawangan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengasasnya Ardy Damis berkata untuk tujuan yang sama, "kedai gunting rambut moden" itu memperkenalkan sistem perkongsian perniagaan dengan melantik pekerja berprestasi tinggi sebagai rakan kongsi bersekutu selepas mereka berkhidmat lebih lima tahun untuk membuka cawangan baharu. 

"Kami percaya kejayaan harus dikongsi bersama. Oleh itu, pekerja yang menunjukkan prestasi cemerlang diberikan peluang untuk mengurus dan memiliki sebahagian perniagaan melalui model ini," katanya kepada Bernama.

Katanya, Nimroc yang mula beroperasi secara kecil-kecilan sejak 2009,  kini mempunyai kira-kira 140 pekerja termasuk kakitangan pengurusan turut aktif menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menawarkan khidmat gunting rambut percuma kepada golongan gelandangan, sekolah serta masjid.

Program itu juga berperanan sebagai platform latihan bagi pelajar di bawah Nimroc Academy, yang telah ditubuhkan sejak 2021. 

Penubuhan akademi tersebut didorong oleh peningkatan permintaan terhadap kerjaya pendandan rambut selepas pasca COVID-19, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada individu yang berminat dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata, akademi itu menyediakan latihan selama dua bulan untuk melahirkan tenaga mahir dalam industri dandanan rambut lelaki, khususnya kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Kita menerima pelajar lelaki berumur 16 hingga 50 tahun yang berminat dalam kerjaya dandanan rambut, malah seorang bekas pelajar kami berusia 50-an kini berjaya mengusahakan perniagaan sendiri," katanya.

Ardy berkata akademi itu juga menawarkan biasiswa kepada pelajar yang layak selain peluang pekerjaan bersama Nimroc selepas tamat kursus.

Nimroc Academy kini mempunyai tiga tenaga pengajar berpengalaman dengan pengambilan sekitar 10 orang setiap bulan dan menyediakan kemudahan tempat tinggal kepada pelatih.

"Modul pembelajaran di akademi Nimroc adalah ringkas serta mudah difahami iaitu 80 peratus praktikal dan 20 peratus teori, membantu mempercepatkan proses pembelajaran," katanya.

Selain itu, pihaknya turut bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) selain bakal menjalinkan usaha sama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk menarik minat belia luar bandar menyertai industri tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan