WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TAHAP KESELAMATAN SETIAP RUMAH AKAN DIPERIKSA, DINILAI SEBELUM PENGHUNI DIBENARKAN PULANG - POLIS

01/04/2025 10:47 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Pemeriksaan rapi dan penilaian tahap keselamatan akan dibuat ke atas setiap unit kediaman yang terlibat dengan insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights Subang Jaya, Selangor mulai esok.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussien Omar Khan berkata pemeriksaan akan dibuat oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum penghuni dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing. 

“Pemeriksaan akan kenal pasti tahap kerosakan, rumah mana yang penghuni boleh dibenarkan pulang, mana yang tidak dibenarkan, mana yang selamat dan mana yang tidak selamat,” katanya kepada pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini hari ini.

Beliau juga berkata sebahagian penduduk yang kediaman mereka kurang terjejas telah diberi kebenaran untuk pulang sementara bagi mengambil barangan penting seperti dokumen dan ubat-ubatan mulai 6.30 petang tadi. 

“Kita benarkan dua orang wakil dari setiap rumah untuk pulang dan mengambil barang mereka yang penting tetapi buat masa ini, tidak ada penduduk dibenarkan bermalam di rumah,” katanya.

Selain itu, Hussein berkata walaupun tiada laporan kecurian harta benda diterima setakat ini, pihak polis memberi jaminan akan mengawal rapi kawasan terlibat dengan anggota diletakkan di setiap jalan di kawasan perumahan terbabit.

“Pihak bomba juga akan siap sedia (standby) di kawasan ini untuk tempoh 20 jam akan datang, untuk tugas pemantauan atau menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Hussein berkata setakat ini seramai 364 mangsa daripada 74 keluarga terlibat dalam kebakaran itu dan kini ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Masjid Putra Height serta Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (Dewan Camelia).

“Saya juga ingin menyampaikan pesanan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya mereka yang memiliki simptom akibat bahaya hidrokarbon seperti sakit tekak dan batuk supaya segera ke klinik kesihatan untuk saringan kesihatan.

“Bagi mereka yang mempunyai keluarga atau kenalan dipercayai terlibat dalam insiden ini tetapi tidak dapat dihubungi, mereka diminta menghubungi pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100, ” katanya.

Beliau berkata buat masa ini seramai 224 petugas terdiri polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), KKM serta pihak berkuasa tempatan dan pejabat daerah bertugas di kawasan terlibat.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan