KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Selain bantuan awal perubatan, keluarga mangsa kebakaran saluran gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights Subang Jaya, Selangor pagi tadi memohon pihak berkaitan memberikan bantuan keperluan asas seperti pakaian dan makanan.
Seorang ahli keluarga mangsa, Mohd Rusman Mohamad Nasir berkata kebanyakan rumah mangsa musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan barangan peribadi.
"Pihak zakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Serdang dan syarikat makanan segera (McDonald) ada salurkan bantuan awal di Masjid Nurul Iman dan Masjid Putra Height seperti bantuan perubatan tapi mungkin kalau dapat baju dan pakaian dalam pun ok," katanya ketika ditemui Bernama di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang hari ini.
Sementara itu, ibu kepada seorang mangsa, Rohanawati Ismail berkata anak sulungnya yang berusia 28 tahun sempat menghubunginya ketika kejadian berlaku.
"Dia sempat menelefon saya memberitahu rumah terbakar, beritahu api datang dari arah dapur dan bukan berpunca daripada tong gas, tetapi saluran paip gas. Ketika itu mereka hanya sempat lari keluar dengan sehelai sepinggang," katanya yang turut berharap bantuan keperluan asas disalurkan.
Seorang mangsa warga Indonesia, Rusman Abdul Samad, yang datang ke hospital untuk menemani rakan senegaranya yang cedera menyifatkan kepanasan semasa kejadian sebagai luar biasa.
"Saya ingat ada kapal terbang lalu kerana bunyinya kuat seperti enjin pesawat, tetapi bila saya keluar, saya lihat api yang besar berpunca daripada kebocoran gas," katanya.
Sementara itu, Masayuan Takbir, 38, yang ditemui selepas mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Putrajaya berkongsi kepada Bernama bahawa beliau masih trauma dengan kejadian tersebut.
Katanya beliau menyelamatkan diri bersama dua orang anak memandangkan suaminya belum pulang bekerja.
"Tanpa memikirkan apa-apa saya keluar rumah secepat mungkin bersama dua anak berumur sembilan dan dua tahun melalui pintu belakang di dapur kerana khuatir kejadian yang lebih buruk berlaku," katanya yang hanya berkaki ayam ketika lari menyelamatkan diri.
"Ketika berlari menyelamatkan diri, ubat asma anak terjatuh dan saya terpaksa berpatah balik untuk ambil ubat itu sambil terpaksa menahan bahang api. Badan anak kedua saya melecur teruk sehingga nampak daging di tangannya.
"Masa itu saya rasa macam nak mati tapi anak saya suruh berzikir. Kata-kata itu yang memberi kekuatan kepada saya," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial