KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Individu perseorangan, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan diminta terus menyumbangkan barangan keperluan kepada semua mangsa insiden kebakaran saluran paip gas yang kini berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights, Subang Jaya.
Ahli Jawatankuasa Komuniti Putra Heights Raja Hilmi Raja Idris berkata pihaknya mengharapkan sumbangan berterusan memandangkan tiada jangka masa yang jelas mengenai berapa lama mangsa kebakaran akan berlindung di PPS tersebut.
“Saya mohon kalau ada lagi sumbangan, tolong hantar. Sebabnya kita tak tahu sampai bila benda ini akan berterusan kerana kalau banjir kita tahu bila sudah surut ada lampu hijau untuk boleh balik ke kediaman.
“Ramai sebenarnya tak boleh balik sebab rumah dan kenderaan sudah tiada. Jadi kami perlukan bantuan banyak lagi kalau boleh,” katanya ketika ditemui Bernama di PPS tersebut, hari ini.
Raja Hilmi berkata antara barang keperluan yang sangat diperlukan termasuk selipar, tuala wanita, lampin pakai buang kanak-kanak dan dewasa serta pakaian.
Setakat 7.30 malam ini, 349 mangsa daripada 72 keluarga berlindung di PPS tersebut.
Sementara itu, bekas personaliti televisyen Adiel Abd Ghaffar yang turut terjejas dengan kebakaran itu memuji tindakan pantas pihak jawatankuasa masjid kerana berupaya menyediakan kemudahan untuk mangsa berlindung.
“Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada ahli jawatankuasa Masjid Putra Heights ini kerana dalam masa singkat mampu menyediakan prasarana sementara ini dengan mendirikan semua pembahagi ruang (partition) serta menerima mangsa kebakaran.
“Saya juga berterima kasih kepada petugas-petugas terlibat kerana memberikan bantuan secara tulus dan segera serta memberikan respons yang begitu cepat,” katanya.
Bagi pesara kerajaan, Yaakob Yusof, 74, beliau bersyukur dengan bantuan yang diterima setakat ini namun pada masa sama berharap kerajaan dapat membantu memudahkan proses mendapatkan semula dokumen penting yang musnah dalam kebakaran tersebut.
Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad mengesahkan secara keseluruhan 237 rumah terjejas dalam kebakaran pada 8.10 pagi tadi, setakat ini.
Jumlah mangsa yang terlibat adalah seramai 305 orang dengan kebanyakannya cedera akibat melecur serta tersedut haba panas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial