WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEBAKARAN PUTRA HEIGHTS : LAPORAN AWAL DIJANGKA DALAM TEMPOH DUA MINGGU - POLIS

04/04/2025 06:42 PM

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Laporan awal siasatan teknikal punca kebakaran dan letupan saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya pada Selasa lepas, dijangka akan diperoleh dalam tempoh dua minggu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata impak letupan besar menyebabkan struktur atau landskap asal kawasan tersebut telah berubah, menjadikan kawasan berkenaan tidak stabil dan berikutan itu laporan penuh hanya dijangka dapat disiapkan sepenuhnya dua minggu selepas itu.

“Untuk tempoh dua tiga hari ini, kerja-kerja untuk menstabilkan kawasan itu dilakukan dan apabila sudah stabil baru kita (pasukan teknikal) boleh korek dan dapatkan keterangan-keterangan dari segi saluran, (jika) ada bahan letupan dan lain-lain keterangan fizikal yang boleh digunakan oleh pihak siasatan teknikal ini,” katanya dalam sidang media di Pusat Pusat Kawalan Tempat Kejadian, di sini petang ini.

Hussein berkata bagi siasatan pasukan teknikal itu, punca kuasa yang digunakan ialah di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) dan Arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) No. 1.

Beliau berkata kejadian letupan berkenaan melibatkan satu daripada tiga saluran gas asli di situ, menghasilkan satu kawah besar yang mempunyai kedalaman lebih kurang lapan meter dan lebar 70 meter.

Hussein berkata berdasarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia terdapat tiga unsur yang boleh menyebabkan letupan iaitu gas, udara dan percikan api.

Beliau berkata jika hanya berlaku kebocoran gas sahaja, ia tidak mungkin akan menyebabkan letupan,  namun siasatan lanjut akan dijalankan berhubung perkara terbabit.

“Siasatan awal kita mendapati saluran paip gas itu sudah berusia lebih 30 tahun yang dibina pada 1991 dan Petronas sentiasa melakukan kerja-kerja penyelenggaraan termasuk daripada aspek kekebalan dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, Hussein berkata pihaknya turut menjalankan siasatan dari sudut data Petronas, sekiranya terdapat amaran awal mengenai kebocoran paip gas di lokasi kejadian.

“Kebocoran saluran paip gas sebelum ini pernah berlaku di Sabah dan Sarawak disebabkan kejadian gempa bumi,” katanya.

Sehingga tengah hari tadi, seramai 46 daripada keseluruhan 134 mangsa masih menerima rawatan di hospital dengan majoriti mengalami kesan lecuran akibat bahang kebakaran dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celcius.

Kejadian pada 8.10 pagi Selasa itu, turut menyebabkan 87 rumah musnah secara total dan tidak boleh didiami, manakala 148 rumah terjejas dan mengalami kerosakan tetapi boleh didiami setelah melalui proses pembaikan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan