WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEBAKARAN PUTRA HEIGHTS: LEBIH 10 ALAT PENGESANAN GAS DIPINJAMKAN

06/04/2025 01:42 PM

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Lebih 10 unit peralatan pengesanan gas dipinjamkan sebuah syarikat swasta bagi membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci di kawasan insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, hari ini.

Pakar bertauliah alat pengesan gas dari MSA Safety Nur Fadhilah Mohd Khalid berkata lapan daripada alat berkenaan adalah jenis personal gas detector Altair 4XR manakala selebihnya multigas detector Altair 5X.

MSA Safety yang merupakan pengeluar dan pembekal peralatan keselamatan dari Amerika Syarikat meminjamkan peralatan itu selama diperlukan bagi membolehkan pihak berkuasa memasuki kawasan insiden dengan selamat. 

"Alat pengesanan gas model Altair 5X dilengkapi pam untuk mengambil sampel gas secara terus dari kawasan berisiko. Peralatan ini mampu mengesan kebocoran gas dalam radius sekitar lebih tiga meter (10 kaki) dan sesuai digunakan di kawasan terhad seperti ruang tertutup ataupun kawasan terbuka. 

"Pengesanan gas model Altair 4XR pula berfungsi dengan mod resapan (diffusion mode) yang akan menyerap gas apabila berdekatan dengan sumber, dengan kedua-dua model mengeluarkan bunyi jika terdapat kehadiran gas berbahaya.

"Jika amaran diberikan, pengguna harus segera mengosongkan kawasan terjejas,” katanya kepada pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Putra Heights hari ini.

Beliau berkata peralatan pengesanan gas itu berada di pasaran tempatan sejak 2008 dan pernah digunakan di beberapa kawasan bencana, termasuk semasa insiden pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor pada Mac 2019. 

"Kemampuannya mengesan pelbagai gas termasuk oksigen, karbon monoksida, hidrogen sulfida menyebabkan banyak pemain industri seperti Petronas menggunakannya bagi keselamatan operasi," katanya.

Kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi 1 April, menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan