KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Kerja-kerja penilaian akhir fizikal bagi kediaman terjejas susulan insiden letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya yang menggemparkan negara pada pagi Selasa lepas, akhirnya selesai pagi ini.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad dilapor berkata hasil penilaian itu akan dibentang dan disampaikan kepada pihak berkaitan petang ini, yang memasuki hari keenam insiden letupan berkenaan.
Bagi operasi di kawasan kawah kebakaran dan letupan paip gas pula, fokus utama adalah mengeluarkan air yang bertakung di kawasan itu susulan hujan bagi membolehkan kerja-kerja penilaian keselamatan disambung semula.
Nor Hisham berkata kerja-kerja penilaian kawah kebakaran juga dijangka memerlukan lebih masa kerana ia tidak hanya melibatkan pihak JBPM, tetapi pelbagai agensi luar.
Operasi di lokasi kejadian turut dibantu syarikat swasta MSA Safety yang meminjamkan lebih 10 unit peralatan pengesanan gas bagi membolehkan pihak berkuasa memasuki kawasan insiden dengan selamat, seterusnya menjalankan siasatan terperinci di kawasan insiden itu.
Sementara itu, penuntut Institusi Pengajian Tinggi termasuk universiti awam, politeknik dan kolej komuniti yang terjejas dibenarkan mengikuti pelajaran secara dalam talian menjelang sesi pengajian yang bermula esok.
Setakat pukul 12 tengah hari tadi, jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights adalah 375 orang daripada 96 keluarga.
Perkembangan terkini mengenai insiden itu dijangka dimaklumkan dalam satu sidang media oleh Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan pukul 4 petang ini di Pos Kawalan Tempat Kejadian.
Kebakaran saluran paip gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa lepas, menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Sebanyak 87 rumah mengalami kerosakan total dan tidak boleh didiami, manakala 148 rumah lagi terjejas serta mengalami kerosakan, tetapi boleh didiami setelah melalui proses pembaikan.
Sementara itu, Nor Hisham memaklumkan pasukan penilaian terhadap rumah-rumah terjejas dan terbakar itu melibatkan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), selain pihak JBPM sendiri.
Melalui audio yang dikongsikan kepada media, beliau berkata pasukan itu telah selesai menjalankan kerja-kerja penilaian di kesemua enam zon.
“Buat masa ini di peringkat membuat kompilasi akhir terhadap rumusan untuk dapatan, dan insya-Allah petang ini kita akan lihat dapatan keseluruhan sebelum kita panjangkan makluman kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Selangor.
“Kita telah kerahkan 25 pegawai penyiasat dari lima negeri iaitu Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat (Putrajaya) untuk membuat penilaian berhubung peratusan kerosakan serta kemusnahan akibat kebakaran dan letupan di rumah-rumah terjejas,” katanya.
Beliau berkata penilaian turut dibuat JBPM terhadap pendawaian elektrik setiap kediaman terjejas untuk menilai sama ada pemilik rumah dapat pulang ke rumah masing-masing atau tidak.
“Insya-Allah perkara berkenaan akan diumumkan dalam sidang media hari ini atau esok,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial