WILAYAH - SARAWAK > BERITA

THAILAND, MALAYSIA SELARAS DENGAN MYANMAR KENDALIKAN BANTUAN GEMPA BUMI

06/04/2025 03:54 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

 

BANGKOK, 6 April (Bernama) -- Thailand dan Malaysia kini bekerjasama rapat dengan Myanmar untuk menyelaraskan dan menguruskan bantuan antarabangsa selepas gempa bumi dahsyat yang melanda negara itu pada 28 Mac lalu.

Menteri Luar Thailand, Maris Sangiampongsa berkata beliau telah bersetuju dengan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN untuk bekerjasama dengan Myanmar dalam penyampaian bantuan antarabangsa, dengan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan mengenai Pengurusan Bencana (AHA Centre) bertindak sebagai penyelaras utama.

“Pada fasa awal, Thailand akan memberi tumpuan kepada kawasan terjejas di Mandalay, manakala Malaysia akan menumpukan kawasan di Sagaing,” katanya melalui akaun X rasminya pada Ahad.

Pada Sabtu, Maris dan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama-sama mengetuai misi kemanusiaan ke Nay Pyi Taw, Myanmar, sebagai simbol kerjasama erat ASEAN dalam respons kemanusiaan dan menunjukkan solidariti serantau serta sokongan kepada rakyat Myanmar.

Maris turut mengucapkan terima kasih kepada Mohamad atas jemputan untuk menyertai misi kemanusiaan ASEAN ke Myanmar.

Beliau menjelaskan bahawa tujuan lawatan itu adalah untuk membincangkan cara-cara bagi memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar yang terjejas akibat gempa bumi baru-baru ini.

“Sepanjang lawatan itu, delegasi Thailand dan Malaysia mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa Myanmar, AHA Centre, dan agensi PBB yang menyediakan maklumat penting untuk menggerakkan bantuan kepada mereka yang terjejas,” katanya.

Maris turut menambah bahawa Myanmar kini memerlukan keutamaan dalam menyediakan pasukan perubatan mudah alih dan sokongan, tempat perlindungan sementara, barangan sanitasi, penapis air, serta bekalan perubatan penting bagi mencegah penyebaran penyakit.

Beliau juga berpuas hati dapat melawat klinik perubatan mudah alih yang dikendalikan oleh pasukan perubatan tentera Thailand, yang memberi perkhidmatan kepada ramai penduduk tempatan.

Maris juga mengetuai penyerahan barangan bantuan daripada Persatuan Palang Merah Thailand kepada Persatuan Palang Merah Myanmar.

“Saya memuji Angkatan Tentera Diraja Thailand dan sektor swasta Thailand atas respons pantas mereka terhadap gempa bumi di Myanmar, yang mencerminkan peranan konstruktif Thailand dalam menyokong negara jiran—sebuah peranan yang dihargai oleh rakyat Myanmar,” katanya.

Pada 28 Mac, gempa bumi kuat berukuran 7.7 pada skala Richter melanda Wilayah Sagaing, Myanmar sekitar 1 tengah hari waktu tempatan, diikuti gegaran susulan berukuran 6.4 pada skala Richter.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan