KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Kunjungan kelab bola sepak Manchester United ke Malaysia buat kali pertama dalam tempoh 16 tahun menggamit perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Anwar, yang merupakan peminat kelab juara 13 kali Liga Perdana Inggeris itu, berkongsi hantaran rasmi kelab berkenaan menerusi laman Instagram beliau, mengenai perlawanan menentang pasukan ASEAN All-Stars di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini pada 28 Mei ini.
“Semua negara ASEAN turun sebagai pasukan menentang Man United #ASEAN2025 #GGMU,” tulisnya sambil diiringi lagu keramat Manchester United berjudul Glory Glory Man United.
Kali terakhir United beraksi di Malaysia adalah pada siri jelajah pramusim 2009, menewaskan Malaysia XI dua kali, 3-2 dan 2-0, masing-masing pada 18 dan 20 Julai di Stadium Nasional.
Selain perlawanan di Malaysia, juara Eropah tiga kali dalam kenyataan hari ini memaklumkan jelajah pascamusim mereka turut melibatkan perlawanan menentang Hong Kong di Stadium Hong Kong pada 30 Mei.
Ini merupakan kepulangan Manchester United ke Asia selepas kemenangan 4-0 menentang Liverpool di Bangkok pada Julai 2022 manakala kali terakhir mereka menjejakkan kaki ke Hong Kong adalah pada 2013.
Selepas jelajah di Asia, Manchester United akan menentang Leeds United di Stockholm pada 19 Julai sebelum berlepas ke Amerika Syarikat untuk Siri Musim Panas Liga Perdana menentang West Ham United (26 Julai), diikuti Bournemouth (30 Julai) dan Everton (3 Ogos).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial