KOTA BHARU, 9 April (Bernama) — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengesan lebih 30 van pelancong dari Thailand melanggar syarat kemasukan ke negara ini, termasuk membawa penumpang tanpa Permit Peredaran Antarabangsa (ICP) serta menggunakan cermin gelap tanpa kebenaran.
Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata kebanyakan van terbabit turut mempunyai saman tertunggak yang masih gagal dijelaskan.
”Kebanyakan van terbabit juga mempunyai saman tertunggak. Operasi Saman Tertunggak Kenderaan Pendaftaran Asing Thailand (Ops Tunggak) dijalankan di pintu masuk utama negeri ini.
"Pemandu yang melanggar peraturan diarahkan berpatah balik dan hanya dibenarkan masuk dengan dokumen lengkap," katanya kepada pemberita selepas Op Khas Hari Raya Aidilfitri 2025 di sini, semalam.
Menurutnya, selepas sempadan dibuka sepenuhnya pada 2022, JPJ memperketatkan pemantauan untuk mengelakkan penyalahgunaan oleh pelancong asing.
"Kebanyakan van dikesan di pintu masuk utama seperti ICQS Rantau Panjang, ICQS Pengkalan Kubor, dan ICQS Bukit Bunga dan sesetengah van berulang kali melanggar peraturan dan mengabaikan saman, dan kenderaan tersebut akan ditahan sehingga saman diselesaikan jika memasuki negara ini semula,”katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial