JERTIH, 9 April (Bernama) -- Seorang pemandu lori didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Besut di sini hari ini selepas didapati bersalah memindahkan 53 ekor ternakan tanpa kebenaran sah pada Januari lepas.
Mohamad Ismail Ab Rahman, 33, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nurliyana Md Zukri.
Mengikut fakta kes, lelaki itu memindahkan 32 ekor biri-biri dan 21 kambing menggunakan sebuah lori tanpa kebenaran bertulis daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu atau mana-mana pihak berkuasa veterinar.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah premis makanan di Kampung Padang Landak dekat sini pada 11.30 malam, 21 Jan.
Kesalahan dilakukan di bawah Perenggan 4(1)(b) Perintah Menteri Besar bagi Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut dan Hawar Berdarah Bagi Negeri Terengganu (Tr.P.U.1) yang diwartakan di bawah Subseksyen 36 (1) Akta Binatang 1953.
Selain hukuman denda, mahkamah turut memerintahkan hasil jualan ternakan berkenaan berjumlah RM18,913.50 dilucut hak.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu Tuan Anuar Sulzi Tuan Abdullah manakala Mohamad Ismail tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial