SHAH ALAM, 9 April (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 61,317 notis pelbagai kesalahan sepanjang Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) tahun ini di seluruh negara bermula 24 Mac hingga tengah malam tadi.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata jumlah itu hasil pemeriksaan ke atas 287,802 kenderaan di 353 kawasan ‘hotspot’ seluruh negara dengan 511 kenderaan disita.
Beliau berkata notis melibatkan kenderaan dan pemandu terbabit dikeluarkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Anta 333).
“Sepanjang tempoh operasi ini JPJ juga menerima 6,687 aduan berbentuk gambar dan video berkaitan kesalahan lalu lintas menerusi Aplikasi MyJPJ.
“Tiga kesalahan utama yang tertinggi adalah memotong barisan (1,766), memandu di lorong kecemasan (1,625) dan gagal mematuhi lampu isyarat merah (843).
“Kita sudah mengambil tindakan hasil aduan berkenaan, termasuk mengeluarkan Notis 114 terhadap pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan,” katanya pada sidang media penutup Operasi Khas HRA 2025 di Plaza Tol Kota Kemuning Lebuhraya Shah Alam (KESAS) arah Shah Alam di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Aedy Fadly berkata JPJ turut melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan pengangkutan awam meliputi 12,732 bas di 54 depoh serta 28 terminal utama seluruh negara.
Beliau berkata sebanyak 1,294 notis dikeluarkan iaitu 366 daripadanya melalui penguatkuasaan secara penyamaran di dalam bas.
“Melalui penyamaran ini, kita mengesan pelbagai kesalahan dilakukan pemandu, antaranya menggunakan telefon ketika memandu, tiada pemandu kedua melibatkan jarak perjalanan empat jam ke atas dan menggunakan laluan kanan berterusan," katanya.
Aedy Fadly berkata JPJ turut mengeluarkan 163 notis dan menahan 124 kenderaan menerusi Penguatkuasaan Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan (Road-Ban) sepanjang empat hari pelaksanaan pada 29 dan 30 Mac serta 5 dan 6 April di bawah Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Semua 124 kenderaan ini tidak boleh berada di atas jalan raya sehingga tempoh Road Ban selesai, iaitu selama 48 jam … ,” katanya.
Sementara itu di JOHOR, Pengarah JPJ Negeri Azmil Zainal Adnan berkata pihaknya mengeluarkan 7,592 saman atas pelbagai kesalahan selepas memeriksa 23,715 kenderaan sepanjang pelaksanaan Operasi HRA, dengan kesalahan tertinggi dikesan ialah tiada lesen memandu kompeten (CDL), lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
“Kesalahan lain ialah tiada Lesen Vokasional, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan dan menggunakan telefon bimbit selain nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
JPJ Johor turut menyita 106 kenderaan atas kesalahan kerana tidak selamat untuk berada di jalan raya, dan Azmil berkata melalui analisis operasi, tahap kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya terhadap pematuhan peraturan keselamatan khususnya kenderaan persendirian, masih pada skala rendah.
Di PERLIS pula Pengarah JPJ Negeri Noraini Mohd Nawi berkata pihaknya mengeluarkan 1,341 notis atas pelbagai kesalahan selepas memeriksa 8,591 kenderaan sepanjang Ops HRA dengan kesalahan utama dikesan adalah berkaitan ketiadaan lesen dan insurans kenderaan, selain berkaitan aspek teknikal tayar yang haus berlebihan bagi kenderaan perdagangan.
Noraini berkata pihaknya juga melaksanakan Operasi Penyamaran Convert & Overt untuk mengesan kesalahan melanggar lampu isyarat sepanjang tempoh itu dengan 15 notis saman dan 45 notis temu siasat dikeluarkan.
Beliau berkata JPJ Perlis turut mengeluarkan notis saman kepada tiga individu yang dikesan melakukan kegiatan ‘prebet sapu’ iaitu mengambil upah membawa penumpang tanpa kebenaran pada 5 April lepas, susulan aduan awam serta risikan di Stesen Keretapi Arau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial