WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JPJ PERJELAS TIDAK SITA LAMBORGHINI AVENTADOR MILIK WARGA CHINA, HANYA SAMAN PEMANDU

09/04/2025 12:50 PM

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menjelaskan kereta mewah jenis Lamborghini Aventador yang dipandu lelaki warga China tanpa lesen tidak disita seperti yang dilaporkan sebelum ini.

JPJ WPKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemandu itu sebaliknya hanya dikenakan saman dalam Operasi Khas Bersepadu Hari Raya Aidilfitri 2025 di Jalan Bangsar, di sini semalam.

“JPJ WPKL hanya mengeluarkan saman kepada pemandu dan membenarkan penumpang berlesen sah membawa kenderaan berkenaan pulang.

“Kami memohon maaf atas sebarang kekeliruan yang timbul,” menurut kenyataan itu. 

Terdahulu, media melaporkan Pengarah JPJ WPKL Hamidi Adam berkata kereta yang dipandu oleh lelaki berusia 28 tahun itu adalah antara 27 kenderaan yang disita dalam operasi bersepadu berkenaan.

Difahamkan lelaki yang bekerja sebagai pencipta kandungan media sosial itu dilaporkan memandu kereta miliknya untuk pulang ke rumah di Damansara Heights bersama teman wanitanya selepas menghadiri majlis pelancaran sebuah restoran makanan segera di Kepong.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan