WILAYAH - SARAWAK > BERITA

GANGGUAN PERKHIDMATAN KLIA EKSPRES, KLIA TRANSIT KERANA KECURIAN KABEL DAN SISTEM ISYARAT

09/04/2025 02:39 PM

PUTRAJAYA, 9 April (Bernama) -- Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) mengesahkan gangguan terhadap perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit, berpunca daripada beberapa siri kecurian kabel serta gangguan sistem isyarat di Stesen Bandar Tasik Selatan semalam. 

ERL berkata insiden pertama kabel dipotong berlaku di KM48.5 antara Stesen Salak Tinggi dan Stesen Terminal 1 (T1) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar 6.20 pagi, menyebabkan penggabungan perkhidmatan dua tren itu diaktifkan pada 6.58 pagi dari Terminal 2 (T2) KLIA dan 7 pagi dari KL Sentral.

“Perkhidmatan perantara juga disediakan dari Stesen Salak Tinggi ke KL Sentral pada 7.40 pagi, bagi menangani waktu sesak di sebelah pagi. Perkhidmatan tren kembali seperti biasan pada 10 pagi dari KL Sentral dan 9.48 pagi dari KLIA T2," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Kejadian kedua berlaku di KM43.1 pada 5.52 petang antara Stesen Putrajaya & Cyberjaya dengan Stesen Salak Tinggi, yang mengakibatkan semua perkhidmatan tren mengalami kelewatan waktu ketibaan antara tujuh ke 10 minit. 

Insiden lain melibatkan gangguan sistem isyarat di Stesen Bandar Tasik Selatan, menyebabkan semua perkhidmatan tren digantung pada 9.57 malam. 

Susulan kejadian itu ERL menyediakan perkhidmatan perantara antara Stesen Putrajaya & Cyberjaya ke KLIA T2 bermula 10.20 malam dengan kekerapan setiap 20 minit sementara penumpang menuju ke KL Sentral dari stesen itu dinasihatkan mencari pengangkutan alternatif. 

ERL juga memaklumkan kecurian kabel ketiga berlaku pada 4.47 pagi hari ini, di KM47.2 antara Stesen Salak Tinggi dan KLIA T1, diikuti di KM40.6 sekitar 5.20 pagi antara Stesen Putrajaya & Cyberjaya dengan Stesen Salak Tinggi. 

“Kejadian yang dikesali ini menjejaskan operasi tren kami dan perjalanan penumpang ke destinasi mereka. Pasukan kami buat masa ini bekerja sepanjang masa untuk memulihkan sepenuhnya perkhidmatan. Kami memahami kesan gangguan terhadap penumpang dan memohon maaf atas kesulitan atau kelewatan dialami,” menurut ERL. 

Penumpang juga dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka sewajarnya dan mengikuti platform media sosial ERL bagi mendapatkan kemas kini perkhidmatan tren. 

Mereka yang terkesan dengan insiden tersebut boleh memohon bayaran balik dengan menghantar e-mel ke CustomerEnquiry@KLIAekspres.com.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan