WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SEKUTU JHO LOW MASUKKAN WANG TUNAI KE DALAM AKAUN NAJIB - SAKSI 

10/04/2025 07:04 PM

PUTRAJAYA, 10 April (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa seorang sekutu ahli perniagaan yang sedang diburu pihak berkuasa Low Taek Jho atau Jho Low, memasukkan wang tunai ke dalam akaun Datuk Seri Najib Tun Razak, antara 2014 dan 2015. 

Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Raywel Anduroh membuat pengakuan itu apabila timbalan pendakwa raya Deepa Nair Thevaharan membaca sebahagian kenyataan sekutu Jho Low itu, mendiang Kee Kok Thiam. 

Raywel berkata pada 2023 beliau merekodkan kenyataan daripada Kok Thiam dan lelaki itu mengaku memasukkan wang tunai ke dalam akaun bekas perdana menteri itu, seperti yang diarahkan oleh Nik Faisal Ariff Kamil.

Nik Faisal adalah bekas Ketua Pegawai Pelaburan 1MDB, yang diberi kuasa untuk menguruskan akaun Najib.

Raywel juga berkata Kok Thiam memberitahu SPRM bahawa beliau bimbang selepas kerajaan Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum 2018. 

"Dia beritahu kami yang dia mendapat tahu bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri, dan dia bimbang Datuk Seri Najib mungkin disiasat. Kok Thiam juga berkata Jho Low meminta supaya dia dan yang lain tidak pulang ke Malaysia dan ikuti perkembangan politik negara seterusnya," kata saksi itu. 

Raywel berkata Jho Low mendakwa sekiranya Kok Thiam pulang ke tanah air, dia akan disiasat berhubung deposit tunai pada 2014 dan 2015 itu.

Saksi itu mengesahkan bahawa Kok Thiam meninggal dunia pada 29 Mei 2023 tidak lama selepas kembali ke Malaysia.

Pada 30 Okt tahun lepas, Hakim Sequerah mengarahkan Najib untuk membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Najib, 71, sedang membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau ketika itu untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan bersambung Selasa depan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan