WILAYAH - UTARA > BERITA

ANGGOTA POLIS TERTEMBAK DIRI SENDIRI MENINGGAL DUNIA

10/04/2025 08:44 PM

GEORGE TOWN, 10 April (Bernama) -- Anggota polis yang tercedera parah selepas dipercayai  tertembak diri sendiri di bahagian kepala dalam kejadian di bilik pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini petang Selasa, meninggal dunia petang ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata koperal berusia 58 tahun itu disahkan meninggal dunia pada pukul 5.12 petang ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Umum (GICU) Hospital Pulau Pinang.

"Mendiang dari Kem Komandan, Jabatan Pengurusan IPK Pulau Pinang, telah disahkan meninggal dunia. Sebelum ini, anggota berkenaan mengalami kecederaan serius di bahagian kepala akibat insiden tertembak diri sendiri pada Selasa," katanya menerusi hantaran di Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang hari ini.

Beliau, isteri serta seluruh warga kerja PDRM Pulau Pinang merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang dan mendoakan agar mereka tabah menghadapi ujian serta ketentuan ini, selain dipermudahkan segala urusan.

Anggota polis yang bertugas di Cawangan Kem Komandan itu ditemukan parah di kepala dalam bilik pengawal IPK Pulau Pinang pada pukul 6.12 petang Selasa lalu, dipercayai akibat tertembak diri sendiri.

Siasatan di tempat kejadian mendapati satu das tembakan dilepaskan daripada senjata yang digunakan anggota berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan