KANGAR, 11 April (Bernama) -- Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya anak perempuannya berusia 11 tahun, sehingga menyebabkan kecederaan pada 6 April lepas.
Ong Yiing Jy, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya.
Wanita mualaf yang bekerja sendiri itu, didakwa menganiaya anak kandungnya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal ketika berada di sebuah bilik di Taman Kangar di sini, kira-kira 6 pagi 6 April.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan) 2006 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda hingga RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid membenarkan Ong dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia, selain memerintahkannya melaporkan diri di balai polis pada hari pertama setiap bulan serta dilarang tinggal serumah, mendekati atau mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah juga menetapkan 16 Mei depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan pelantikan peguam.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Ahmad Poad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Rabu lepas, Bernama melaporkan polis menahan seorang wanita berhampiran Jejambat Titi Kerbau, Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis dekat sini pada Selasa, kerana disyaki mendera anak perempuannya berusia 11 tahun.
Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop dilaporkan berkata wanita berkenaan ditahan pada 1.30 tengah hari dan tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh guru besar sekolah kanak-kanak itu di Jitra, Kedah pada Isnin.
Hasil pemeriksaan perubatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini mendapati terdapat kesan luka di bahagian belakang badan, leher, kaki dan tangan mangsa akibat dipercayai akibat gigitan serta dicucuk dipercayai menggunakan gunting ikan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial