WILAYAH - UTARA > BERITA

TIGA PENJURU DI AYER KUNING, BN ADA KELEBIHAN - PENGANALISIS

13/04/2025 10:42 AM

Oleh Syamsiah Sahat

TAPAH, 13 April (Bernama) -- Usai proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, calon yang diumumkan bertanding tidak membuang masa untuk terus mendekati pengundi di kawasan itu.

Berdasarkan jadual pergerakan yang dikongsi kepada media calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, dan calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek, 44, mempunyai program padat bertemu jentera dan pengundi sebelum menutup kempen hari pertama kira-kira 11 malam, semalam.

Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS, 40, turut mengadakan program tinjauan mesra dan berkempen secara maya dari 7 hingga 9 malam.

Penganalisis politik, Siti Noranizahhafizah Boyman berkata ketiga-tiga calon mempunyai kelebihan masing-masing namun BN dilihat sebagai pilihan untuk mengekalkan kubu kuat parti itu.

“Mereka mempunyai latar belakang pendidikan dan kerjaya yang baik dan merupakan anak tempatan namun BN dilihat punya kelebihan untuk mengekalkan kerusi tersebut yang dikuasai selama sembilan penggal sejak 1986,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pensyarah Kanan dan Penyelaras Kluster Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkata kerjasama jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) juga memberikan kekuatan kepada BN dalam memperoleh undi penyokong kedua-dua parti.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,213 undi selepas memperoleh 9,088 undi, menewaskan calon PH Dr Mohd Nazri Hashim (6,875 undi), Muhammad Noor Farid Zainal (PN - 6,812 undi), Bawani (PSM - 586 undi) dan Maziah Salim (Pejuang - 105 undi).

Bagaimanapun, beliau berpandangan BN tidak boleh terlalu selesa dengan situasi tersebut dan perlu bijak dalam menjelaskan isu-isu tempatan serta nasional.

“Melalui tinjauan persepsi pengundi, kita dapati isu kuil adalah antara isu yang menimbulkan persepsi kurang senang kepada pengundi dan BN harus bijak menangani isu ini,” katanya.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam dan Sains Sosial Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Dr Kamaruddin Yaakob berkata polisi Kerajaan MADANI khususnya yang menjaga kebajikan penjawat awam menerusi kenaikan gaji dijangka mengukuhkan sokongan pengundi dalam kalangan penjawat awam.

Selain itu, beliau berkata parti PAS dan Perikatan Nasional (PN) yang hanya memomokan isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja) selain memainkan sentimen kerjasama UMNO-DAP akan menyebabkan mereka hanya mampu mengekalkan penyokong tegar.

“Faktor ini menyebabkan pengundi muda dan pengundi atas pagar dijangka cenderung kepada BN. Kesimpulannya BN dijangka mengekalkan kemenangan dengan meraih lebih 10,000 undi, bergantung kepada jumlah peratusan keluar mengundi,” katanya.

DUN Ayer Kuning mempunyai 31,897 pengundi berdaftar terdiri daripada 31,315 pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan mereka.

Daripada jumlah itu, 45.9 peratus adalah pengundi berusia 18 hingga 39 tahun.  

PRK Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam, 58, akibat serangan jantung pada 22 Feb lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April, dengan pengundian awal pada 22 April.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan