WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AGONG, RAJA PERMAISURI BERANGKAT MENYAKSIKAN GT WORLD CHALLENGE ASIA

13/04/2025 08:11 PM

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menyaksikan perlumbaan siri GT World Challenge Asia di Litar Antarabangsa Petronas Sepang hari ini.

Menurut hantaran menerusi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua bagi memberi sokongan kepada anakanda Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj yang beraksi bagi pasukan Johor Motorsports Racing (JMR).

Dalam perlumbaan kedua pusingan pembuka tirai itu, Tunku Abdul Rahman bersama rakan sepasukan Alex Sims mengambil peluang keemasan akibat kesilapan dua pendahulu perlumbaan untuk merangkul kemenangan pertama bagi musim ini.

“Lebih manis lagi apabila kemenangan di tanah air itu dicatat dengan jentera baharu Chevrolet Corvette Z06 GT3.R.

“Namun, nasib tidak menyebelahi YAM Tunku Abu Bakar dan Jordan Love yang terpaksa menarik diri daripada perlumbaan selepas Love terlibat dalam perlanggaran dengan pelumba lain menyebabkan kerosakan pada jentera,” menurut hantaran itu.

Turut berangkat ke perlumbaan hari ini ialah Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim serta Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim bersama suami Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Pusingan seterusnya akan berlangsung di Litar Antarabangsa Pertamina, Mandalika, Indonesia pada 9 hingga 11 Mei ini.

Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar masing-masing mewakili pasukan JMR memulakan kempen musim ini dengan pencapaian membanggakan apabila Tunku Abdul Rahman dan rakan sepasukannya Alexander Sims dari Britain merangkul tempat ketiga dalam kategori Pro-Am.

Kejayaan itu menyaksikan JMR meraih podium pertama mereka bagi musim ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan