WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KERAJAAN TERUS PERHEBAT INISIATIF MEMBERDAYA KOMUNITI INDIA - PM ANWAR

14/04/2025 12:24 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Kerajaan akan terus memperhebatkan inisiatif bagi memberdayakan komuniti India di negara ini melalui pelbagai program termasuk pembiayaan perniagaan kepada komuniti itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan juga akan menambah baik semua aspek penting termasuk pendidikan, penyediaan rumah ibadat dan peluang pekerjaan.

“Ini penting dalam merealisasikan hasrat memartabat masyarakat India di negara ini sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat India pada masa hadapan,” katanya dalam hantaran di Facebook sempena sambutan Tahun Baharu Tamil Chithirai, Hari Vaisakhi dan Vishu.

Dalam hantaran itu, Perdana Menteri turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Chithirai, Hari Vaisakhi dan Vishu kepada semua masyarakat Tamil, Sikh dan komuniti Malayalee yang meraikannya.

Anwar berharap semoga tahun baharu itu membawa lebih banyak kegembiraan, kesihatan yang baik dan keberkatan buat semua.

“Kita raikan kepelbagaian ini dengan rasa bangga, kerana inilah warna-warni Malaysia yang menjadikan negara kita unik dan kuat. Teruskan semangat perpaduan, itulah kekuatan sebenar kita,” katanya.

Hari ini masyarakat Tamil, Malayalee dan Sikh di seluruh negara menyambut perayaan tahun baharu masing-masing iaitu Chittirai Puthandu, Vishu dan Vaisakhi.

Tahun Baharu Tamil (Chittirai Puthandu) jatuh dalam tahun bertuah 'Krothi' mengikut kalendar Hindu dan bermula pada hari ke-30 pada bulan Tamil Panguni (Ahad, 13 April).

Vishu pula menandakan permulaan tahun dalam kalendar Malayalam serta melambangkan pembaharuan, kemakmuran dan pemeliharaan warisan budaya.

Bagi penganut Sikh, Vaisakhi memperingati detik bersejarah - penubuhan Khalsa oleh Guru Gobind Singh Ji pada 1699.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan