PUTRAJAYA, 14 April (Bernama) -- Penetapan 20 jenis Sukan Teras Prestasi Tinggi akan memacu pembangunan sukan yang lebih cekap dengan melibatkan semua pemegang taruh sukan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Perkara itu ditetapkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) Bilangan 1/2025 yang dipengerusikan oleh Ahmad Zahid hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan berkata penetapan itu juga menzahirkan komitmen Kerajaan MADANI dalam meningkatkan prestasi dan pencapaian atlet di peringkat antarabangsa.
Jenis sukan yang terlibat ialah akuatik (renang dan terjun), angkat berat, badminton, berbasikal (trek), boling padang, e-sukan, gimnastik (artistik dan gimrama), hoki, karate, memanah, menembak, olahraga, pelayaran, ping pong, sepak takraw, silat, skuasy, taekwondo, tenpin boling dan wushu.
"Senarai ini akan dinilai semula setiap empat tahun mengikut kitaran temasya Sukan Olimpik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata pemilihan sukan teras itu adalah berdasarkan beberapa kriteria utama seperti penyertaan dan prestasi dalam kejohanan antarabangsa, pengurusan sukan, serta program pembangunan atlet.
"Saya percaya penetapan ini dapat memberi impak yang signifikan kepada pembangunan ekosistem sukan negara dengan menjadikannya rujukan utama kepada semua kementerian dan agensi dalam perancangan program, peruntukan sumber, serta pelaksanaan dasar berkaitan pembangunan sukan," katanya.
Ahmad Zahid berkata, mesyuarat itu bersetuju agar Kementerian Perpaduan Negara terus memperkasa usaha memperluas program sukan secara inklusif yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.
Beliau berkata program itu menekankan nilai kebersamaan dengan menyediakan platform integrasi yang merentasi sempadan kaum, agama, dan sosioekonomi.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata mesyuarat itu turut membincangkan perancangan program sukan elektronik oleh Kementerian Belia dan Sukan bagi tahun ini serta pengukuhan pelaksanaan Dasar Satu Murid Satu Sukan (1M1S) oleh Kementerian Pendidikan.
"Usaha ini menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam mencungkil bakat-bakat baharu dalam pelbagai disiplin sukan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial