WILAYAH - SARAWAK > BERITA

INSKEN SASAR BANTU 25,000 USAHAWAN MIKRO DAN INFORMAL TAHUN INI

15/04/2025 01:45 PM

PUTRAJAYA, 15 April (Bernama) --  Institut Keusahawanan Negara Bhd (INSKEN) menyasarkan untuk membantu sehingga 25,000 usahawan di seluruh negara melalui 198 program latihan dan bimbingan yang akan dilaksanakan pada tahun ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Maizura Mohamad berkata hala tuju tahun 2025 menyaksikan INSKEN akan terus proaktif dengan memperkenalkan beberapa program baharu termasuk INSKEN Mini Coaching yang memfokuskan empat topik utama iaitu pengurusan pekerja, pengurusan kewangan, pemasaran dan pembangunan produk.

Beliau berkata agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) itu terus komited dalam memperkasakan usahawan mikro dan informal melalui pelbagai program latihan dan bimbingan yang berasaskan keperluan industri.

“INSKEN turut mengalu-alukan lebih banyak kerjasama strategik daripada pelbagai pihak bagi menjayakan usaha ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya sepanjang tahun lepas, INSKEN menjalinkan kerjasama dengan pelbagai organisasi termasuk Amanah Ikhtiar Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Lembaga Zakat Selangor, Institut Tadbiran Awam Negara, Maybank Islamic dan Public Islamic Bank menerusi program seperti Kursus Asas Keusahawanan dan Kursus Asas Pembangunan Produk dan Servis.

Program bimbingan yang dilaksanakan sejak 2017 sehingga 2024 telah menyumbang RM101 juta kepada ekonomi negara dan dalam tempoh sama, sebanyak 1,134 pekerjaan baharu diwujudkan dan 130 usahawan berjaya meningkatkan status perniagaan daripada mikro kepada kecil, katanya.

Bagi tahun 2024, sebanyak 24 program bimbingan telah dilaksanakan yang terdiri daripada 19 Program Bimbingan Perniagaan Bumiputera INSKEN dan lima Program Bimbingan Keuntungan Menu.

Ia mencatatkan peningkatan hasil jualan berjumlah RM23 juta, 468 pekerjaan baharu serta 60 usahawan yang menaik taraf status perniagaan mereka.

Turut diadakan pada tahun lepas adalah empat Program Bimbingan Usahawan Permulaan yang membantu usahawan merancang serta menyusun strategi pemasaran secara lebih sistematik dan berkesan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dalam kenyataan sama berkata pelaksanaan program INSKEN bukan sahaja menepati keperluan industri semasa, malah selari dengan tonggak dasar Membangun Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

“INSKEN telah mengintegrasikan modul serta kerangka latihan berteraskan nilai-nilai MADANI bagi membantu kelangsungan perniagaan yang akhirnya memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat, khususnya usahawan tempatan,” katanya.

Selain program bimbingan, INSKEN turut melaksanakan 207 program latihan jangka pendek pada 2024 yang memberi fokus kepada jualan dan pemasaran, kewangan, operasi dan pengurusan perniagaan yang memanfaatkan seramai 6,437 usahawan di seluruh negara.

Maklumat lanjut mengenai program latihan dan bimbingan INSKEN boleh dilayari di laman web rasmi www.insken.gov.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan