KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Dokumentari khas mengenai Tun Abdullah Ahmad Badawi akan ditayangkan bagi menunjukkan profil pencapaian semasa menjadi perdana menteri serta mengenang jasa dan legasi Allahyarham.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata bagi tujuan itu, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bersama-sama Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), akan menyediakan bahan berkaitan bagi penyiaran dokumentari khas berkenaan.
“Memang ada beberapa perkara (bahan) yang dah disediakan, tapi saya minta dipertingkatkan. Kita ingin rakyat mengenang kembali khidmat jasa dan bakti Allahyarham Tun Abdullah, terutama untuk generasi yang mungkin lahir pada waktu itu dan mereka langsung tidak mengenali.
“Jadi saya harap kandungan yang dihasilkan dapat menceritakan serba sedikit perubahan dari segi beberapa keputusan yang dibuat oleh kerajaan pada waktu itu, yang tidak memberi fokus kepada projek mega sahaja tapi pembangunan ekonomi yang lebih manusiawi,” katanya kepada media di Wisma Bernama hari ini.
Turut hadir Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Fahmi berkata antara pencapaian Tun Abdullah semasa menjadi Perdana Menteri dari 2003 hingga 2009, termasuk penerapan konsep Islam Hadari yang sederhana, namun berkeyakinan.
“Saya rasa ini satu pencapaian yang baik, terutama pada waktu itu ada Islamophobia yang sangat besar, pascaperistiwa Serangan 11 September di Amerika Syarikat, jadi ini antara sumbagan Allahyarham Tun Abdullah kepada negara,” katanya.
Tun Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam tadi dan telah selamat dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara kira-kira 2.30 petang mengikut Istiadat Pengebumian Negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial