WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KES BUNUH KOLEJ VOKASIONAL: TIADA PAKSAAN KESEMUA TERTUDUH TULIS PENGAKUAN - GURU

15/04/2025 09:41 PM

TAWAU, 15 April (Bernama) -- Seorang guru disiplin dalam perbicaraan kes bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia tidak pernah memaksa kesemua tertuduh menulis pengakuan mereka. 

Mohd Ferdaus Andres, 39, berkata demikian ketika bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif bahawa tiada paksaan untuk pelajar terbabit menulis apa-apa perkara di kertas A4 dan tulisan mereka adalah atas pengetahuan sendiri.

Saksi pembelaan ke-16 dalam perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol itu juga bersetuju dengan cadangan Nur Nisla bahawa proses siasatan dalaman kolej tersebut dan pihak polis adalah tidak sama.

Ketika pemeriksaan utama oleh peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Mohd Ferdaus berkata dia meminta mereka menulis nama penuh, nombor kad pengenalan, nama program serta kejadian yang berlaku. 

"Terdapat 13 pelajar berdiri di depan saya dan ada empat pelajar lain yang tidak bergerak, kemudian saya minta mereka menulis di kertas A4 bukan sebagai pengakuan tetapi keterangan awal untuk siasatan dalaman sekolah," katanya.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan Kamarudin bahawa dia menyerahkan kertas berkenaan kepada polis sebelum 13 tertuduh dibawa untuk siasatan dan mereka tiada bantahan berhubung penyerahan kertas terbabit kepada pihak polis.

Mohd Ferdaus berkata ketika kejadian, dia pada awalnya menyangka berlaku pergaduhan melibatkan dua kumpulan pelajar selepas melihat ramai yang berkumpul di Bilik Danum pada pagi 22 Mac tahun lepas sebelum dimaklumkan oleh seorang guru bahawa berlaku insiden bertumbuk membabitkan sekumpulan dan seorang pelajar.

"Saya sendiri awalnya tidak tahu apa yang berlaku, siapa saksi, siapa suspek, jadi arahan pertama saya kepada pelajar-pelajar ini, siapa yang ada menyentuh mangsa sama ada memukul, menumbuk, menampar atau yang sama, agar berdiri di hadapan saya,” katanya.

Pada 28 Feb lepas, Duncan memerintahkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun untuk membela diri atas pertuduhan membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac tahun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Saksi pembelaan ke-18 yang juga pegawai penyiasat kes ASP Suddin Tjinke pula memberitahu mahkamah dia tidak bersetuju bahawa kertas A4 yang dikaitkan sebagai keterangan awal 13 tertuduh dapat membantu siasatan kes sebaliknya berkata siasatan menyeluruh perlu dilakukan.

Semasa menjawab pertanyaan Nur Nisla, Suddin berkata polis tidak menerima kertas A4 terbabit selain memaklumkan tiada kepentingan untuk polis menyimpan dokumen itu.

Seramai 18 saksi termasuk 13 tertuduh selesai memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang berlangsung selama tujuh hari.

Duncan kemudian menetapkan 29 April ini untuk hujahan bertulis diserahkan manakala 6 Mei ditetapkan sebagai tarikh hujahan balas dan 14 Mei bagi kedua-dua pihak memfailkan hujahan sebelum memutuskan sama ada kesemua tertuduh akan disabitkan kesalahan atau dibebaskan.

Nur Nisla dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri manakala lapan tertuduh diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin dan Chen Wen Jye.

Lima lagi tertuduh diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P Kang dan Kusni Ambotuwo.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan