KEPALA BATAS, 15 April (Bernama) -- Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi akan terus dikenang masyarakat sebagai seorang pemimpin yang peramah, lemah lembut dan sangat membantu tanpa mengira kaum, agama atau politik.
Sifat rendah diri beliau dan keprihatinannya terhadap rakyat telah meninggalkan kesan mendalam di hati penduduk kawasan Kepala Batas, kerana Allahyarham yang merupakan Ahli Parlimen Kepala Batas selama tujuh penggal sejak 1979, sentiasa tersenyum, menyapa mesra dan tidak kekok berbual bersama orang ramai.
Malah sumbangan dan jasa Tun Abdullah atau lebih mesra dengan panggilan Pak Lah, dihargai sehingga hari ini khususnya oleh peniaga di Pasar Awam Kepala Batas kerana memindahkan mereka ke sebuah bangunan pasar yang lebih selesa serta besar di Permatang Manggis.
Peniaga ikan Mohd Rozi Yahaya, 54, berkata sebelum ini berniaga di pasar di Pekan Kepala Batas iaitu kira-kira 100 meter sahaja daripada rumah keluarga Pak Lah, namun kerana kawasan itu agak sesak dan padat, Tun Abdullah yang ketika itu Perdana Menteri meluluskan peruntukan membina Pasar Awam Kepala Batas.
“Pasar di Pekan Kepala Batas semakin sesak dan padat, jadi Pak Lah cadangkan bina Pasar Awam Kepala Batas yang baharu dan pada 2002 kami semua peniaga berpindah ke pasar yang lebih selesa dan lengkap dengan infrastruktur,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.
Mohd Rozi yang membantu ayahnya berniaga sejak berusia 11 tahun berkata mereka sekeluarga memang mengenali Pak Lah, kerana sering ke gerai ayahnya di Pekan Kepala Batas dan Pak Lah melayan semua orang dengan baik tanpa membezakan pangkat, bangsa atau agama.
Bagi seorang lagi peniaga Ismail Abdul Rahman, 57, berkata beliau dan isterinya Latifah Othman antara peniaga di tapak lama pasar itu yang menjadi saksi perasmian Pasar Awam Kepala Batas oleh Tun Abdullah yang masih Perdana Menteri ketika itu.
Ismail berkata sebelum mereka berpindah ke pasar baharu itu, kelibat Tun Abdullah sering kelihatan di pasar lama dan Allahyarham suka membeli dalam masa sama mengambil peluang berjumpa dengan orang ramai.
“Pak Lah ini tidak pernah berubah, macam mana sikapnya dulu-dulu macam tulah sampai sekarang dengan lemah lembutnya ketika bercakap, ramah dengan orang ramai dan paling penting beliau penuh dengan ilmu agama,” katanya yang berniaga sejak 30 tahun lepas.
Bagi bekas peniaga sayur Bai Eng, 75, tiada perkataan sedih yang dapat digambarkan selepas mendapat berita mengenai kematian Tun Abdullah malam tadi, kerana beliau memang mengenali Pak Lah sejak muda lagi.
“Dulu sebelum saya berniaga sayur, saya menjalankan tanaman sayur-sayuran dan Pak Lah ini sering datang ke kebun saya, selepas itu saya berniaga di pasar di Pekan Kepala Batas, beliau sudah ada jawatan dalam negara tapi kalau jumpa Pak Lah tetap tegur dan sembang dengan mesra,” katanya.
Sementara itu, bekas Ketua MIC Kepala Batas Datuk M.Sivanathan, 78, yang juga rakan baik Tun Abdullah berkata beliau mengenali Pak Lah sejak lebih 50 tahun dan rumah bekas Perdana Menteri di Permatang Bertam adalah rumah keduanya, kerana sering berkunjung ke situ.
“Saya satu kelas dengan adik Pak Lah iaitu Datuk Ibrahim, tapi saya juga rapat dengan Pak Lah dan kami sering bersama terutama ketika Pak Lah menerajui UMNO Kepala Batas.
“Sudah pasti memori dan kenangan kami akan terus menjadi kenangan kepada saya sampai bila-bila,” katanya yang beberapa kali menahan sebak ketika ditemubual.
Dalam pada itu, kira-kira 100 jemaah di Masjid Al Jamiul Badawi menganjurkan solat jenazah ghaib untuk Tun Abdullah yang merupakan penaung masjid itu selepas solat Zohor hari ini yang dipimpin oleh Imam Kanan masjid itu ustaz Dr Muhammad Hambali Zulkifli.
Tinjauan Bernama juga mendapati penduduk kawasan Kepala Batas mengambil peluang mengikuti siaran langsung pengebumian Tun Abdullah menerusi media sosial.
Allahyarham Tun Abdullah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 7.10 malam tadi, pada usia 85 tahun dan jenazahnya disemadikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, bersebelahan Masjid Negara, pada jam 2.30 petang tadi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial