WILAYAH - TENGAH > BERITA

MANGSA KEBAKARAN PUTRA HEIGHTS BUKA LEMBARAN HIDUP BAHARU

16/04/2025 02:29 PM

SEPANG, 16 April (Bernama) -- Insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Selangor pada 1 April lepas, bukan sekadar detik hitam buat Muhammad Ridzuwan Salehhudin, 33, dan Farihatul Syazween Azrin, 26, tetapi ia menjadi titik permulaan dalam kehidupan mereka.

Pasangan suami isteri itu sebelum ini menetap di rumah keluarga mereka, tetapi kini berpeluang tinggal di rumah sewa sementara yang ditawarkan kerajaan Selangor di Pangsapuri Seri Suria, Kota Warisan.

Muhammad Ridzuwan berkata beliau dan isteri yang berkahwin sejak empat tahun lepas sememangnya berhasrat mencari rumah sewa untuk didiami dan insiden itu memberi kesempatan kepada mereka untuk tinggal di rumah sendiri. 

“Kemungkinan kami akan terus tinggal di Pangsapuri Seri Suria. Itu adalah perancangan kami dan alhamdulillah rumah ini besar dan kami berpuas hati,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci oleh Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor ​​​​Datuk Borhan Aman Shah di sini hari ini. 

Beliau yang bekerja sebagai pemandu teksi berkata anggaran kerosakan rumahnya di Kampung Tengah sekitar RM20,000 dan ia masih berisiko untuk didiami.

“Polis maklumkan berisiko untuk tinggal kerana aspek keselamatan seperti cermin dan pintu rosak. Sekarang kami tunggu bagaimana proses pembaikan dilaksanakan,” katanya menambah, keluarga mentuanya tinggal di Bukit Beruntung, Selangor. 

Seorang lagi mangsa, Abu Samah Rahmat, 58, yang turut menerima kunci rumah hari ini merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri kerana segera membantu mangsa yang terjejas mendapatkan rumah serta bantuan lain.

“Anggaran kerosakan rumah sekitar RM30,000 kerana pintu dan keadaan rumah rosak teruk,” katanya. 

Kebakaran pada 1 April itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah dan 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah Puchong. 

Pada Isnin lepas, Borhan berkata kerajaan Selangor menawarkan 100 unit rumah sewa sementara dengan kadar RM850 sebulan di Pangsapuri Seri Suria kepada mangsa insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights

Borhan berkata mangsa kebakaran boleh melanjutkan tempoh sewaan sehingga lima tahun menerusi skim Smart Sewa. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan