KUANTAN, 16 April (Bernama) -- Pencerobohan tanah termasuk dalam kategori merampas hak orang lain secara zalim yang diharamkan oleh syarak, kata Mufti Pahang Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim.
Beliau berkata tindakan itu turut mencabuli prinsip penjagaan harta atau Hifz al-Mal dalam Maqasid al-Syariah selain mencabar peranan pemerintah dalam memelihara keadilan dan kemaslahatan ummah.
“Pencerobohan tanah sama ada melalui perlombongan haram, penerokaan tanah atau pembinaan infrastruktur tanpa kebenaran bukan sahaja satu pelanggaran undang-undang, bahkan satu bentuk kemungkaran, pengkhianatan amanah dan jenayah syarie membawa kepada kerosakan bumi serta penindasan terhadap rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Asmadi berkata pencerobohan tanah itu tidak boleh menggunakan konsep lhya' Al Mawat kerana ia akan memberi mudarat kehilangan tanah yang besar kepada kerajaan untuk melaksanakan projek bermanfaat kepada seluruh rakyat.
Beliau berkata konsep Ihya' Al-Mawat hanya dapat dilaksanakan jika ia menjadi dasar kerajaan, namun rakyat pada masa kini wajib mendapatkan kelulusan permit oleh kerajaan kerana semua rakyat tertakluk kepada undang-undang melalui Akta Kanun Tanah Negara 1965.
Asmadi berkata Jabatan Mufti Negeri Pahang menjunjung titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung isu pencerobohan tanah secara haram.
“Titah baginda agar rakyat menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa adalah satu amanah besar demi menjaga kelestarian negeri serta kedaulatan undang-undang dan syarak,” katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Mufti Negeri Pahang menyeru pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan agar melaksanakan penguatkuasaan secara tegas dan berintergriti yang berpaksikan prinsip hisbah dan amar maruf nahi mungkar.
Asmadi juga mengingatkan rakyat di negeri itu untuk mematuhi titah Sultan Pahang dengan bekerjasama menyalurkan maklumat berkenaan sebarang pencerobohan yang berlaku.
“Jabatan Mufti Negeri Pahang menyokong penuh segala usaha pihak kerajaan negeri dan agensi penguat kuasa dalam menangani isu ini, demi memastikan bumi Pahang terus diberkati dan dilindungi daripada segala bentuk kemudaratan duniawi dan ukhrawi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial