WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KDN FC PLATFORM PEMAIN MUDA PAMER POTENSI, CARI PELUANG MUSIM DEPAN

17/04/2025 03:40 PM

KOTA BHARU, 17 April (Bernama) -- Pemain Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) perlu menjadikan saingan Liga Super musim ini sebagai platform memasarkan diri dan meneruskan kerjaya bersama pasukan lain pada musim depan.

Penolong Ketua Jurulatih KDN FC Rezal Zambery Yahya berkata walaupun pasukan itu berdepan pelbagai cabaran, masih terdapat elemen positif yang boleh dimanfaatkan oleh barisan pemain muda demi kelangsungan kerjaya dalam kempen Liga Malaysia (Liga-M).

“Kita tahu rata-rata pemain muda yang turun beraksi ketika ini bermain secara sukarela dan mereka memikirkan masa depan dalam industri bola sepak. Mereka datang dan bermain bersungguh-sungguh untuk memasarkan diri masing-masing bagi menarik minat pasukan lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

KDN FC kini berada di kedudukan tercorot Liga Super selepas hanya mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan, satu seri dan 14 kekalahan, dengan barisan pemain muda diturunkan bagi mengharungi baki saingan musim ini.

Rezal Zambery berkata pemain perlu menampilkan aksi terbaik bagi membuka peluang untuk diambil pasukan lain dalam Liga Super musim depan.

“Jurulatih memberi motivasi kepada pemain untuk berfikir tentang masa depan mereka kerana ramai antara mereka sudah berada dalam industri ini dan perlu meneruskan perjuangan,” katanya.

Beliau berkata dalam keadaan pasukan yang mencabar, pemain masih mempunyai ruang untuk beraksi dan menunjukkan kebolehan masing-masing bagi memastikan mereka kekal relevan dalam industri bola sepak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan