WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SAMBUTAN HARI PENJARA KE-235 DI PULAU PINANG 17 MEI INI

17/04/2025 05:24 PM

KAJANG, 17 April (Bernama) -- Sambutan Hari Penjara ke-235 tahun ini akan diadakan di Padang Kota, Pulau Pinang pada 17 Mei ini.

Komisioner Jeneral Penjara Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata pemilihan Pulau Pinang yang merupakan lokasi penjara moden pertama di negara ini cukup signifikan kerana sambutan tahun ini akan memaparkan evolusi Jabatan Penjara Malaysia sejak sebelum kemerdekaan sehingga kini.

“Pada sambutan tahun ini, kita akan dapat mengimbau kembali bagaimana institusi ini mula berkhidmat bagi mengendalikan penghuni penjara secara berperikemanusiaan. 

“Tempoh evolusi 235 tahun adalah proses yang panjang dan saya harap dengan sambutan ini nanti orang ramai dapat didedahkan dengan peranan penjara mengasingkan prospek (banduan) sebelum mengembalikan mereka kepada masyarakat,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni: Kepimpinan Koreksional dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kompleks Penjara Kajang, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Awang Alik Jeman. 

Terdahulu, Abdul Aziz mengiringi Awang menyantuni warga jabatan berkenaan dalam majlis yang turut melibatkan lapan institusi penjara. 

Sementara itu, ditanya mengenai kawalan keselamatan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak ketika bekas Perdana Menteri itu menghadiri istiadat pengebumian Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara Selasa lepas, Abdul Aziz berkata ia adalah seperti mana prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. 

 "Memang kami patuhi (SOP) kerana setiap kategori prospek ada tahap risiko tersendiri, jadi pihak penjara perlu pastikan keselamatan prospek dalam keadaan terjamin. Definisi (kawalan) kasar tidak timbul sebab kami mahu memperkukuh tahap keselamatan terhadap prospek itu sendiri," katanya. 

Media sebelum ini melaporkan Najib dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi di sini untuk menghadiri istiadat pengebumian Tun Abdullah yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Isnin lepas.

Jenazah Perdana Menteri kelima itu dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara yang turut dihadiri pemimpin tertinggi negara, kenamaan serta rakyat pelbagai lapisan masyarakat bagi memberikan penghormatan terakhir.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan