IPOH, 17 April (Bernama) -- Sejumlah 7,409 unit dokumen daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan mendapat Klasifikasi Fail Fungsian yang dimasukkan ke dalam Sistem Pengurusan Rekod Elektronik yang mendapat perakuan Arkib Negara Malaysia pada tahun ini.
Ketua Pengarah Arkib Negara Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman berkata ia dilakukan bagi memperkukuh sistem pengurusan rekod jabatan selaras dengan prinsip kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan dalam penyampaian perkhidmatan awam.
“Rekod (Klasifikasi Fail Fungsian) ini akan menjadi rujukan berterusan kepada sesebuah agensi dan jabatan kerajaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Jadual Pelupusan Rekod Fungsian Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perak di sini hari ini.
Majlis berkenaan dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perak Azman Saad berkata 436 dokumen fungsian telah dimasukkan dalam Sistem Pengurusan Rekod Elektronik yang mendapat perakuan Arkib Negara Malaysia.
“Dalam mendepani persekitaran digital, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perak telah menggunakan sepenuhnya Sistem Pengurusan Dokumen Digital (DDMS) bagi tujuan merekod segala surat dan dokumen.
“Penggunaan DDMS itu memperlihatkan urusan perekodan surat dan dokumen dapat dibuat secara sistematik dan teratur,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial