WILAYAH - TENGAH > BERITA

AKTIVITI PROSES AIR KETUM DI RUMAH TERES DUA TINGKAT TERBONGKAR

17/04/2025 09:01 PM

BALIK PULAU, 17 April (Bernama) -- Kegiatan memproses air ketum di sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Kelicap di sini, terbongkar selepas diserbu polis petang tadi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata dalam serbuan pada 2.30 petang itu, pihaknya turut menahan dua lelaki berusia 40 dan 42 tahun yang sedang leka memasak air ketum.

Beliau berkata hasil pemeriksaan, polis merampas dua tong berisi 600 bungkus air ketum dan 15 bungkusan daun ketum seberat 75 kilogram (kg) bernilai RM3,400 selain satu periuk berisi air ketum yang sedang diproses.

"Siasatan awal mendapati rumah itu disewa sejak enam bulan lepas dengan menjadikannya tempat memproses air ketum manakala kedua-dua lelaki itu tidak bekerja dan disyaki menjadikan aktiviti memproses serta menjual air ketum sebagai kerja sepenuh masa.

"Polis percaya terdapat pembabitan individu lain yang menjadi dalang kegiatan ini," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan itu.

Sazalee berkata sebungkus air ketum dijual pada harga RM5 dan sindiket mampu meraih keuntungan RM6,000 sebulan dengan pasarannya adalah di sekitar Daerah Barat Daya.

Seorang daripada lelaki itu memiliki dua rekod lampau berkaitan ketum dan kedua-duanya kini disiasat mengikut Akta Racun 1952.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan