WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TEAM VAMOS INTAI KEJUARAAN MUSIM KE-15

17/04/2025 08:58 PM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Team Vamos menyasarkan untuk merangkul kejuaraan dalam Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia musim ke-15 yang bermula Sabtu ini.

Jurulatih Team Vamos Paolo Lobaton, atau lebih dikenali sebagai Paowee, berkata pasukan itu telah melalui persiapan rapi dengan harapan untuk melangkah lebih jauh musim ini selepas berjaya menduduki tempat naib juara musim lepas susulan tewas kepada Selangor Red Giants (SRG.OG) dalam aksi grand final.

“Persediaan berjalan lancar dan kami juga mencuba semua watak semasa sesi latihan.

“Kami tahu ia bukan satu tugas yang mudah kerana kami perlu berdepan SRG.OG dan pasukan kuat yang lain, jadi kami perlu bersedia sepenuhnya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mengenai perlawanan pembukaan musim ini menentang SRG.OG, Paowee berkata juara bertahan itu mempunyai kelebihan apabila mengekalkan barisan yang sama daripada musim lepas.

Bagaimanapun, beliau tetap optimis pasukannya mampu meraih kemenangan sekali gus memberi suntikan semangat bagi meneruskan baki kejohanan.

"Saya percaya kami mempunyai peluang untuk menang menentang SRG.OG Sabtu ini. Perkara utama adalah fokus pada diri kami sendiri.

"Pemain tidak sepatutnya meletakkan tekanan yang terlalu tinggi pada diri mereka sendiri," katanya.

Musim ini, Team Vamos akan diwakili Aleiff Adam Md Ariff (Smooth) yang beraksi sebagai EXP laner; Adriansyah Baihaqi Lesmana (Claw Kun) membawa peranan mid laner; Muhammad Nazhan Mohd Nor (Chibi) dan Danish Tahqif Abdullah (Error 404) sebagai junglers manakala Kenneth Sablande Barro (Nets) dan Muhammad Hazril Haziq Khairol (Haxzz) muncul gold laner pasukan.

Turut sebahagian daripada pasukan itu ialah Mohammad Zul Hisham Mohd Noor (Xorn) yang akan menjalankan tugas sebagai roamer.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan