KUCHING, 17 April (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman yang difailkan oleh dua anak lelaki Yang Dipertua Sarawak ketujuh Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud terhadap ibu tiri mereka, Toh Puan Raghad Kurdi Taib.
Hakim Mahkamah Tinggi Alexander Siew How Wai membuat keputusan itu selepas menolak bantahan awal Raghad dan defendan kedua iaitu RHB Investment Bank Berhad, yang berhujah perkara tersebut terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Dalam penghakimannya, Siew berkata kedua-dua defendan dalam pernyataan pembelaan masing-masing telah memplidkan bahawa kes itu terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengadili pertikaian tersebut.
"Perkara ini hanya dibangkitkan semasa hujahan lisan pada pendengaran permohonan bagi membatalkan saman tersebut.
"Defendan kemudian meminda pernyataan pembelaan masing-masing untuk memplidkan perkara ini," katanya.
Beliau berkata Mahkamah Tinggi berpandangan dan mendapati bahawa bidang kuasa untuk mengadili kes itu terletak di bawah mahkamah sivil dan bukannya Mahkamah Syariah.
Bekas Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib dan adiknya, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir memohon perintah injunksi berhubung pemindahan saham sebuah syarikat swasta kepada Raghad.
Sulaiman dan Mahmud Abu Bekir adalah anak Abdul Taib melalui perkahwinan pertamanya dengan Toh Puan Laila Taib, yang meninggal dunia pada 29 April 2009.
Abdul Taib, yang meninggal dunia pada 21 Feb tahun lepas, telah mengahwini Raghad pada 18 Dis 2010.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial