WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SPRM, KEMENTERIAN EKONOMI TUBUH PASUKAN KHAS PANTAU PROJEK NEGERI, DAERAH

17/04/2025 09:32 PM

PUTRAJAYA, 17 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Ekonomi sepakat menubuhkan satu pasukan khas bagi memantau projek yang diluluskan di peringkat negeri dan daerah.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan kedua-dua pihak akan bertukar maklumat berhubung jumlah peruntukan yang diluluskan kementerian berkenaan.

“Ia termasuk menjalankan pemeriksaan mengejut dan siasatan kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan pelaksanaan projek yang telah diluluskan,” menurut kenyataan itu.

Pasukan khas berkenaan juga akan mengenal pasti kelemahan yang wujud dalam Tatacara Pelaksanaan dan menambah baik prosedur operasi standard ke arah pengurusan tatakelola dalam penentuan serta penyaluran bajet, pemantauan dan pelaksanaan projek dengan lebih berkesan.

Kenyataan itu turut memaklumkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengalu-alukan keseriusan dan keterbukaan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli dalam memastikan ketelusan bagi mengekang ketirisan projek yang diluluskan kementerian itu, dan langkah berkenaan wajar dicontohi oleh kementerian dan agensi lain.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan