TAPAH, 18 April (Bernama) -- Malaysia bersedia menarik balik pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dihantar ke Myanmar sekiranya keselamatan mereka terancam.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan pegawai dan anggota yang dihantar dan pendirian tegas itu telah dimaklumkan kepada rakan sejawat dari Myanmar U Than Swe.
“Malaysia dah dapat ‘lampu hijau’ … dan saya sendiri telah meminta pihak Myanmar supaya ‘stand down’, jangan ketika negara (Myanmar) menghadapi bencana, mereka masih lagi nak bergaduh. Jika didapati wujud isu yang boleh memudaratkan keselamatan pasukan kita, kita tidak akan teragak-agak untuk menarik balik.
“Saya juga telah beritahu perkara itu kepada rakan sejawat di ASEAN dan PBB, jadi mereka (Myanmar) jangan sesekali tidak mempedulikan keselamatan pasukan kita,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian kepada pemberita selepas turun berkempen bersama calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir di gerai Capati Perak di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata misi kemanusiaan yang digerakkan itu tidak bermaksud Malaysia mengiktiraf kerajaan Myanmar sedia ada, sebaliknya demi membantu rakyat negara itu yang sedang berdepan kemusnahan besar.
Malaysia menghantar pasukan perubatan ATM ke Myanmar hari ini bagi melaksanakan Operasi Bantuan Kemanusiaan (Operasi Starlight III) susulan gempa bumi kuat yang melanda negara itu pada 28 Mac lepas.
Pasukan itu terdiri 69 orang, termasuk 16 pegawai dan 53 anggota pelbagai kepakaran, antaranya Forward Anaesthesia and Surgical Team (FAST) Hospital Medan Malaysia, elemen daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) bersama pasukan keselamatan.
Hospital Medan berkenaan akan beroperasi di kawasan Sagaing, Myanmar dan tidak menolak kemungkinan bakal berubah lokasi berdasarkan keadaan semasa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial