WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TANG JIE HARAP WEN TSE KEKAL SEMANGAT, FOKUS LATIHAN

18/04/2025 03:21 PM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Walaupun hanya berpeluang bergandingan dalam tiga kejohanan, pemain beregu campuran negara Chen Tang Jie berharap pasangannya, Chan Wen Tse akan terus menunjukkan komitmen tinggi dalam latihan tanpa mengira siapa gandingannya selepas ini.

Ini kerana Tang Jie akan kembali bergandingan bersama Toh Ee Wei bermula pada Kejohanan Terbuka Singapura dari 27 Mei hingga 1 Jun ini. 

“Saya harap dia (Wen Tse) boleh teruskan apa yang dia buat sebulan bersama saya. Jika kita tidak teruskan latihan, kita tidak akan dapat apa-apa.

“Saya harap siapapun pasangan dia (selepas ini), saya akan tolong dia. Kalau mereka minta bantu, pastinya saya akan bantu,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (BAM), Bukit Kiara di sini hari ini. 

Tang Jie menyifatkan Wen Tse sebagai seorang yang profesional serta memiliki potensi besar untuk muncul sebagai antara pemain terbaik negara pada masa hadapan.

Tang Jie juga mengakui perasaan gementar yang mungkin dialami Wen Tse adalah sesuatu yang wajar untuk beraksi di kejohanan Terbuka Taiwan (6-11 Mei), Terbuka Thailand II (13-18 Mei) dan Malaysia Masters (20-25 Mei). 

Sebelum ini, Tang Jie merupakan pasangan tetap kepada Ee Wei namun pada 28 Mac lepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan gandingan itu dipisahkan bagi memberi ruang kepada pasukan kejurulatihan mencuba kombinasi baharu susulan ketegangan dalam hubungan mereka sejak temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Bagaimanapun pada Rabu lepas, BAM mengesahkan Tang Jie dan Ee Wei akan kembali digandingkan susulan permintaan daripada kedua-dua pemain serta hasil perbincangan menyeluruh antara barisan kejurulatihan dan pemain.

Tang Jie dan Ee Wei juga berada dalam senarai pemain negara yang akan beraksi pada Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China pada 27 April hingga 4 Mei ini. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan