WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TFC MAHU HADIAHKAN KEMENANGAN TERAKHIR LIGA SUPER KEPADA PEMINAT

19/04/2025 03:44 PM

KUALA NERUS, 19 April (Bernama) -- Terengganu FC (TFC) menyasarkan mengutip tiga mata pada perlawanan terakhir Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam esok.

Ketua Jurulatih TFC Badrul Afzan Razali berkata beliau bertekad untuk menghadiahkan kemenangan itu kepada penyokong skuad Penyu, walaupun mata yang dikutip nanti tidak dapat mengubah kedudukan pasukan dalam carta liga.

Beliau berkata selepas dua kekalahan berturut-turut di tangan Selangor FC dan PDRM tempoh hari, TFC mahu menutup kempen Liga Super musim ini dengan kemenangan terakhir di tempat sendiri.

“Walaupun TFC sudah mengesahkan tempat kelima dalam saingan liga (Liga Super) musim ini, kita tetap akan berjuang bersungguh-sungguh untuk menghadiahkan kemenangan kepada peminat.

“Saya mengingatkan para pemain supaya tidak mengambil mudah kemampuan pasukan lawan walaupun mereka berada di kelompok tiga pasukan terbawah liga,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, TFC yang berpengkalan di Kuala Nerus mengumumkan penurunan harga tiket bagi perlawanan terakhir Liga Super sebagai hadiah kepada penyokong.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) Mohd Sabri Abas berkata harga tiket asal bernilai RM20 diturunkan kepada RM5 bagi semua peringkat usia.

“Penurunan harga tiket ini bertujuan menghimpunkan seberapa ramai peminat, sekali gus meniup semangat pemain untuk mengakhiri musim ini dengan nota kemenangan.

“Kita berharap peminat dapat hadir memenuhkan stadium sebagai tanda sokongan dan penghormatan kepada pasukan kesayangan kita,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan