KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor menunjukkan penurunan pada petang ini manakala di Sabah tidak berubah.
Di JOHOR, hanya 25 orang daripada sembilan keluarga masih berlindung di Balai Raya Kampung Batu Badak, Segamat setakat 4 petang ini berbanding 37 orang daripada 11 keluarga pada sebelah pagi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata kawasan yang masih terjejas dengan banjir adalah Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5 Jalan Muar.
Selain itu, beliau berkata bacaan paras Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat menunjukkan trend menurun namun masih melepasi paras amaran iaitu 8.57 meter.
“Keadaan cuaca di Johor Bahru, Pontian dan Batu Pahat dijangka hujan petang ini manakala tujuh daerah yang lain diramalkan cerah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Di SABAH, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal 155 orang daripada 54 keluarga yang berlindung di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon, Beaufort setakat 4 petang ini.
“Sebanyak enam kampung masih terjejas banjir di Beaufort dan trend pemindahan kekal," kata kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial