Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Syarikat logistik multinasional, DP World sedang memperkukuh operasi di ASEAN untuk memanfaatkan kemunculan Asia Tenggara sebagai pangkalan pembuatan luar pesisir utama bagi kalangan syarikat China.
Syarikat Emiriah Arab Bersatu (UAE) terkemuka itu yakin kalangan syarikat China semakin berusaha untuk memintas halangan perdagangan -- termasuk tarif -- apabila berdagang dengan pasaran Barat.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan DP World Asia Pasifik Glen Hilton berkata pihaknya merancang untuk mengembangkan operasi melalui pengambilalihan strategik, perkongsian tempatan dan pelaburan infrastruktur.
ASEAN dengan pesat menjadi hab pembuatan luar pesisir yang penting bagi syarikat China, menurut Asia Society Policy Institute.
Pelaburan mereka di rantau ini melonjak kepada US$17.6 bilion pada 2023 daripada US$7.5 bilion pada 2020 (US$1=RM4.396).
“Peningkatan ketara ini didorong oleh gabungan projek pembuatan, kenderaan elektrik, teknologi, perlombongan dan pembangunan infrastruktur termasuk projek digital dan tenaga boleh baharu,” katanya kepada Bernama dalam temu bual menerusi e-mel.
Beliau berkata DP World terkenal dengan operasinya berhampiran Pelabuhan Jebel Ali di UAE.
Lonjakan pelaburan China itu mencerminkan aspirasi mereka untuk mengelakkan halangan perdagangan Barat, mengurus kos pembuatan dan buruh, memenuhi permintaan pengguna ASEAN yang semakin meningkat, serta memanfaatkan lokasi strategik rantau ini sebagai pintu masuk perdagangan global, katanya.
“Dalam melangkah maju, perdagangan China-ASEAN diunjurkan meningkat kepada US$616 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang, peningkatan mutlak terbesar di seluruh dunia,” katanya.
Hilton berkata satu lagi kelebihan ialah ASEAN menawarkan perniagaan alternatif yang menguntungkan dari segi kos selain neutral secara diplomatik terhadap hab pembuatan lain di rantau Asia-Pasifik.
“ASEAN telah muncul sebagai penghubung utama antara kedua-dua ekonomi, dan Asia Tenggara berperanan penting sebagai hab pembuatan dan logistik.
“Rantau ini juga meraih manfaat daripada lokasinya yang strategik dan perjanjian perdagangan pelbagai hala yang teguh seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA),” katanya.
ASEAN kini ialah rakan dagang terbesar China, dengan jumlah perdagangan antara kedua-duanya mencecah kira-kira US$797 bilion dalam tempoh 10 bulan berturut-turut pada 2024.
Sebagai perbandingan, perdagangan India dengan ASEAN menyumbang 11 peratus kepada jumlah perdagangan global negara itu.
Mengenai pelaburan strategik DP World, Hilton berkata pihaknya telah menyelesaikan pembelian ke atas Savan Logistics, pengendali Pelabuhan Kering Savannakhet, yang terletak di zon ekonomi khas pertama Laos.
Pada masa sama, syarikat itu bekerjasama dengan Sabah Ports Sdn Bhd untuk menguruskan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar dan juga telah mencapai persetujuan dengan Lembaga Pelaburan Indonesia dan PT Pelabuhan Indonesia (Pelindo) untuk mengendalikan Terminal Kontena Baharu Belawan.
Beliau berkata DP World bersedia untuk memulakan pengembangan yang hebat, menawarkan rangkaian lengkap perkhidmatan logistik termasuk penghantaran barangan, pergudangan, pengurusan inventori dan logistik kontrak, di samping terus mengukuhkan perniagaan pelabuhan dan terminal.
"Bagaimanapun, akses kepada modal, dasar perdagangan dan kadar pembangunan ekonomi adalah berbeza-beza di seluruh rantau ini. Sesetengah pasaran Asia Tenggara lebih bersedia berbanding yang lain untuk melabur dalam menambah baik rantaian bekalan dan logistik mereka," katanya.
Hilton juga berkata rangka kerja kawal selia terutama berkaitan pemilikan asing ke atas aset utama seperti pelabuhan dan terminal, sangat berbeza di seluruh ASEAN.
“DP World mengharungi kerumitan ini dengan bekerjasama dengan entiti tempatan dan memupuk dialog berterusan dengan pihak berkuasa untuk mencapai penyelesaian sama menang sejajar dengan dasar perdagangan negara,” katanya.
Beliau berkata DP World sentiasa meneroka perkongsian strategik dan pelaburan sejajar dengan strategi perniagaannya, untuk memperkemas aliran perdagangan di dalam dan luar rantau ini.
Saiz dan kepelbagaian geografi Asia Tenggara memerlukan sistem pengangkutan pelbagai mod yang lengkap, katanya.
“Langkah mengembangkan perdagangan bermakna meningkatkan semua mod pengangkutan termasuk menerusi jalan raya, kereta api, laut dan udara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial