WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPM LATIH SEMULA LEBIH 100,000 GURU DALAM PEDAGOGI DIGITAL – FADHLINA

21/04/2025 03:13 PM

GEORGE TOWN, 21 April (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) sedang melatih semula lebih 100,000 guru di seluruh negara dalam bidang pedagogi digital dan kaedah pengajaran abad ke-21, sejajar dengan Pelan Tindakan Pendidikan ASEAN 2021–2025.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata inisiatif tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan profesional guru dan dilaksanakan melalui kerjasama dengan Google for Education, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) serta universiti tempatan.

“Malaysia mengiktiraf bahawa sektor pendidikan perlu beralih daripada penyampaian ilmu secara pasif kepada penekanan terhadap kemahiran, kreativiti, pemikiran kritis dan pembelajaran sepanjang hayat. Kita berada di satu persimpangan - antara penyesuaian secara sederhana atau transformasi menyeluruh. Malaysia memilih untuk melakukan transformasi berani.

“Pelan Tindakan Pendidikan ASEAN 2021–2025 menyediakan kerangka kukuh untuk kerjasama serantau dan Malaysia menyokong sepenuhnya visinya,” katanya dalam ucapan pada Sidang Kemuncak Pemerkasaan Pendidikan 2025: Membentuk Masa Depan ASEAN Melalui Kemahiran dan Inovasi, di sini hari ini.

Fadhlina berkata Malaysia juga memperkukuh kerjasama antara sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan pemain industri, antaranya melalui pelaksanaan Agenda Pemerkasaan TVET Kebangsaan yang membolehkan sektor awam dan swasta membangunkan bersama program latihan modular berasaskan keperluan industri.

Sebagai contoh, katanya, sektor elektrik dan elektronik (E&E) di Johor dan Pulau Pinang bekerjasama dengan politeknik dan kolej vokasional bagi mereka bentuk laluan TVET yang memberi tumpuan kepada bidang semikonduktor.

Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa sekolah rintis terpilih telah menggunakan platform pembelajaran berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk memperibadikan pembelajaran pelajar, mengesan risiko awal keciciran dan menyediakan intervensi yang disesuaikan.

Dalam masa sama, KPM juga memperluas inisiatif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) seperti #MySTEMAmbassadors dan STEM4ALL yang memberi tumpuan kepada pelajar luar bandar dan daripada keluarga berpendapatan rendah.

Menurut beliau, lebih 200,000 pelajar telah menyertai kem STEM dan pertandingan robotik sepanjang tahun 2024, namun cabaran dari segi kesaksamaan digital masih wujud.

“Bagi mengatasinya, KPM sedang melaksanakan bilik darjah hibrid berkuasa solar serta capaian internet satelit di 180 sekolah di Sabah dan Sarawak bagi memastikan inovasi turut sampai ke seluruh pelosok negara dan tidak menambah jurang sedia ada,” katanya.

Fadhlina turut menjelaskan bahawa walaupun sistem pendidikan dwibahasa negara telah lama mengintegrasikan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, KPM kini memperluaskan penawaran bahasa elektif termasuk Mandarin, Tamil serta bahasa ASEAN seperti Thai, Khmer dan Vietnam bagi menggalakkan kerjasama serantau yang lebih erat.

“Kekuatan ASEAN terletak pada kepelbagaian budaya, bahasa dan tradisinya. Bagi memanfaatkan keunikan ini, generasi muda perlu diperlengkap dengan kecekapan pelbagai bahasa serta kefahaman silang budaya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan